KUCHING, 30 Nov: Seramai 90 peserta daripada institusi latihan Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) layak bersaing merentasi 16 bidang kemahiran dalam pertandingan akhir Worldskills Malaysia Sarawak (WMS) 2023 Kali Ke-3.
Menurut Menteri Pendidikan, Inovasi dan Pembangunan Bakat Sarawak Dato Sri Roland Sagah Wee Inn, pemenang WorldSkills Malaysia Sarawak 2023 akan bertanding di WorkSkills Malaysia 2024 dan seterusnya mewakili Sarawak dan Malaysia dalam pertandingan antarabangsa seperti ASEAN dan Asia WorldSkills.
Katanya Sarawak adalah satu-satunya negeri di Malaysia yang menganjurkan pertandingan kemahiran yang bertujuan untuk mengiktiraf belia berkemahiran tinggi dan meningkatkan kemahiran pelatih daripada institusi TVET awam dan swasta di Sarawak.
“WorldSkills Malaysia Sarawak 2023 Ke-3 adalah inisiatif strategik Kerajaan Sarawak untuk mempromosikan 16 bidang kemahiran yang menyumbang kepada 13 sektor tenaga kerja di bawah Strategi Pembangunan Pasca COVID-19 (PCDS) 2030.
“Kementerian saya telah memperjuangkan program ini pada tahun 2017, 2019 dan 2023, dengan sokongan padu daripada Jabatan Pembangunan Kemahiran (JPK) Wilayah Sarawak,” katanya.
Beliau berkata demikian dalam sidang media Worldskills Malaysia Sarawak 2023 di Dewan Undangan Negeri (DUN) Sarawak di sini hari ini.
Turut hadir Setiausaha Kerajaan Sarawak Datuk Amar Mohamad Abu Bakar Marzuki dan Timbalan Menteri Pendidikan, Inovasi dan Pembangunan Bakat Sarawak Datuk Francis Harden Hollis.
Dalam pada itu, WMS2023 telah diadakan dalam dua fasa dan peringkat prakelayakan telah diadakan lebih awal dari 28 hingga 31 Oktober 2023, dengan seramai 380 peserta bertanding dalam 16 bidang kemahiran untuk memilih enam peserta terbaik daripada setiap bidang kemahiran, yang kemudiannya akan bertanding di pertandingan akhir.
“Pertandingan akhir akan dijadualkan dari 9 hingga 10 Disember 2023 dan majlis penutup pertandingan WorldSkills Malaysia Sarawak 2023 Ke-3 akan dirasmikan oleh Premier Sarawak Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg pada 11 Disember 2023 di CENTEXS Santubong.
“Abang Johari akan menyampaikan “Anugerah Tangan Emas Premier Sarawak” kepada juara keseluruhan daripada semua 16 bidang kemahiran yang bertanding,” katanya lagi.
Roland Sagah turut menambah para pemenang juga akan membawa pulang wang tunai sebanyak RM3,000 berserta pingat dan sijil bagi tempat pertama, tempat kedua pula RM1,500 berserta pingat dan sijil dan tempat ketiga membawa pulang wang tunai sebanyak RM1,000 berserta pingat dan sijil. – TVS