KUCHING, 30 Nov: Kementerian Utiliti dan Telekomunikasi (MUT) Sarawak dan Petroleum Sarawak Berhad (PETROS) bekerjasama rapat bagi memastikan tiada caj tambahan apabila pelanggan bertukar dari silinder gas petroleum cecair (LPG) ke PETROS (merah) atau silinder LPG PETRONAS (hijau), selain kos isi semula.
PETROS berkata PETROSNiaga Sdn Bhd, cabang LPG runcitnya, memberi jaminan bahawa harga silinder LPG 14kg bersubsidi tidak berubah bagi pelanggan domestik di Sarawak.
Harga silinder LPG PETROS bersubsidi untuk kegunaan isi rumah dikekalkan pada RM26.60 bagi yang diambil sendiri.
“PETROSNiaga juga telah memaklumkan kepada 65 pengedar di seluruh negeri bahawa pelanggan boleh menukar kepada silinder LPG PETROS tanpa caj tambahan,” kata kenyataan PETROS.
Untuk memudahkan peralihan yang lancar, pelanggan juga digesa melaporkan mana-mana peniaga yang mengenakan bayaran tambahan untuk bertukar kepada silinder LPG PETROS kepada Perkhidmatan Pelanggan PETROSNiaga di 1300-882-122.
Mulai 1 Disember tahun ini, PETROSNiaga akan menjadi pembekal tunggal LPG 14kg bersubsidi untuk kegunaan isi rumah di Sarawak.
Silinder LPG PETROS 14kg bersubsidi boleh dilanggan melalui rangkaian peniaga PETROSNiaga di seluruh Sarawak. – TVS