KUCHING, 30 Nov: Kelulusan rang undang-undang pada persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) yang berakhir semalam merupakan ‘game changer’ untuk Sarawak.
Premier Sarawak Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg berkata ini akan memperkukuhkan kedudukan Sarawak dalam usaha menambah nilai sumber sedia ada.
DUN Sarawak meluluskan RUU Ombudsman 2023, Alam Sekitar (Pengurangan Pelepasan Rumah Hijau) 2023, Pengagihan Gas (Pindaan) 2023, Elektrik (Pindaan) 2023 dan Perbekalan 2024 (belanjawan).
“Rang Undang-undang Pengurangan Pelepasan Rumah Hijau merupakan yang pertama di Malaysia, ia untuk kita mempertahankan hak kita dan juga nilai tanah kita dan juga dalam pengurusan perniagaan karbon,” katanya pada Majlis Malam Kelab Penyokong Gabungan Parti Sarawak (GPS) di sini, malam tadi.
Hadir sama, Speaker DUN Sarawak Tan Sri Datuk Amar Mohamad Asfia Awang Nassar dan Pengerusi Penganjur Majlis Malam Kelab Penyokong GPS Christopher Gira.
Abang Johari berkata lagi, RUU Pengagihan Gas akan menyaksikan PETROS sebagai pengedar tunggal silinder gas petroleum cecair (LPG) di Sarawak.
Yang ketiga ialah undang-undang mengenai elektrik yang membolehkan Sarawak mempertahankan kedaulatan dan juga cara untuk menguruskan sumber ekonomi.
“Kali ini kita telah mendapat undang-undang yang boleh mempertahankan kedaulatan kita dan juga cara-cara kita menguruskan ekonomi selain daripada undang-undang Ombudsman yang mengkhususkan mengenai intergriti,” ujarnya.
Dalam pada itu, Abang Johari berkata Gabungan Parti Sarawak (GPS) memainkan peranan penting dalam kestabilan politik negara.
Perkara itu diakui sendiri oleh Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim, katanya.
Tegasnya, GPS akan terus mengekalkan kerjasama dengan kerajaan pusat di bawah pentadbiran Kerajaan Perpaduan.
“Kita (GPS) harus mengekalkan kerjasama ini untuk pembangunan ekonomi negara dan Sarawak amnya.
“Kita mempunyai banyak perkara untuk dilakukan menjelang 2030, apa yang penting adalah membawa Sarawak ke hab wilayah dan langkah pertama adalah untuk meneruskan kekuatan tenaga di negeri ini,” katanya. – TVS