Search
Close this search box.
Search
Close this search box.
Datuk Aaron Ago Dagang (dua, kiri) bersama Pengerusi Pertubuhan Berita Nasional Malaysia (Bernama) Datuk Seri Wong Chun Wai (dua, kanan) bergambar kenangan selepas menyampaikan ucapan sempena Hari Krismas di Wisma Bernama hari ini.Foto, Bernama.

Program lafaz Rukun Negara berjaya, diterima ramai – Aaron Ago

ByBernama

KUALA LUMPUR, 30 Nov: Kementerian Perpaduan Negara telah melaksanakan 632 program berkaitan kemasyarakatan tahun ini dan melafazkan Rukun Negara menjadi antara program paling berjaya serta diterima ramai, kata menteri berkenaan Datuk Aaron Ago Dagang.

Beliau berkata kemuncak kepada penerimaan usaha menyemarak dan memperkasakan pembudayaan prinsip Rukun Negara dalam kalangan masyarakat adalah lafaz Rukun Negara akan dilaksanakan pada setiap sesi pembukaan penggal Dewan Rakyat.

“Sepanjang setahun pentadbiran Kerajaan Perpaduan, kementerian melalui pelbagai agensi telah melaksanakan 632 program dan yang paling menonjol bagi kami adalah program lafaz ikrar Rukun Negara.

“… dan kebenaran lafaz Rukun Negara dilaksanakan pada hari kedua mesyuarat pertama setiap penggal Parlimen sebagaimana yang diumumkan semalam menjadi satu daripada kejayaan yang cukup signifikan kepada usaha yang diperjuangkan kementerian sekian lama,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menjadi tetamu program sempena sambutan Hari Krismas anjuran Pertubuhan Berita Nasional Malaysia (BERNAMA) yang turut disertai Pengerusi BERNAMA Datuk Seri Wong Chun Wai di sini hari ini.

Semalam, Yang Dipertua Dewan Rakyat Tan Sri Johari Abdul dilaporkan berkata lafaz Rukun Negara akan dilaksanakan pada setiap sesi pembukaan penggal Dewan Rakyat, iaitu pada hari kedua mesyuarat pertama setiap penggal Parlimen selepas cadangan yang dibawa Aaron dipersetujui Jawatankuasa Pembinaan Negara Bangsa, Pendidikan dan Pembangunan Sumber Manusia serta Jawatankuasa Peraturan-peraturan Mesyuarat.

Aaron berkata lafaz Rukun Negara dilaksanakan di Parlimen itu merupakan antara usaha kementerian memperkasakan pembudayaan prinsip Rukun Negara di semua peringkat seiring keputusan Jemaah Menteri sebelum ini yang menetapkan supaya lafaz ikrar Rukun Negara disemarakkan ke arah meningkatkan jati diri dan patriotisme dalam kehidupan seharian masyarakat.

Dalam pada itu, Aaron berkata Minggu Perpaduan Negara peringkat nasional untuk tahun depan akan diadakan di Johor.

Beliau berkata acara yang akan disambut serentak di seluruh negara itu diteruskan susulan kejayaan penganjuran Minggu Perpaduan Negara di Kuching, Sarawak pada 21 Mei lepas. -TVS

TVS provides up-to-date news, captivating dramas, and diverse program which are disseminated via channel 122 MYTV, UnifiTV and ASTRO. Stream live via MYTV Mana-Mana, UnifiTV and ASTRO GO apps now.

Follow us on social media:
Facebook: @tvsarawak , @tvs122

Instagram: @tvsarawak, @TVS_Entertainment

Telegram: @tvsarawak

TikTok: @tvsarawak, @tvs_entertainment

X: @tvsarawak

YouTube: @tvsarawak, @TVSEntertainment

Berita Berkaitan