KUCHING, 30 Nov: Kapal Peronda Luar Persisir Pertama (OPV1) milik Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) sedang diuji di perairan Selat Melaka.
Ketua Pengarah Maritim Malaysia, Laksamana Maritim Datuk Hamid Mohd Amin berkata, kapal itu diuji selama empat hari sejak 28 November lalu hingga esok dengan menempuh jarak 630 batu nautika bermula dari Pelabuhan Klang ke Pulau Langkawi.
’Tunjuk kekuatan supaya tiada usaha ceroboh perairan negara’ – Pengarah Maritim Sarawak
Jelas beliau, fasa uji laut dilakukan oleh TH Heavy Engineering Berhad (THHE) dan kini OPV1 belayar memasuki perairan Pulau Pinang.
“Penyertaan OPV1 dalam eksesais yang dilaksanakan oleh THHE bertepatan dengan matlamat bagi menguji kemampuan sepenuhnya kapal peronda ini sebelum diserahkan secara rasmi kepada Maritim Malaysia,” katanya.
Beliau berkata demikian menerusi kenyataan media selepas meninjau kesiagaan semua kapal dan anggota penguat kuasa yang terbabit dalam Eksesais Maritim Perkasa Barat 2023 hari ini.
Untuk rekod, OPV1 bernombor 8305 ini berukuran 83 meter panjang dengan lebar 13.7 meter berkeupayaan melakukan operasi di laut dalam jangka waktu maksimum selama 21 hari tanpa ulang bekal.
Ia juga dilengkapi teknologi kapal tanpa pemandu (UAV), meriam 30mm smash aselsan, berkelajuan 21 knot dengan menggunakan fasiliti seperti tapak pendaratan helikopter, bot jenis Rigid Hull Inflatable Boat (RHIB) serta bilik tahanan.
Sementara itu, Hamid turut berharap agar kesemua kapal yang mengikuti eksesais pada kali ini mencapai tahap yang dihasratkan selain akan meningkatkan kompetensi hampir 500 pegawai dan anggota Maritim Malaysia yang menyertai eksesais berkenaan. -TVS