KUCHING, 30 Nov: Kementerian Pelancongan, Industri Kreatif dan Seni Persembahan Sarawak memberi sokongan penuh kepada pihak yang berminat untuk mengembangkan industri persembahan terutama golongan muda.
Menterinya, Dato Sri Abdul Karim Rahman Hamzah berkata, ini akan dapat mempromosikan Sarawak sebagai destinasi seni budaya dan seterusnya memacunya ke peringkat antarabangsa.
Sehubungan itu Abdul Karim meminta penganjur acara berkenaan untuk berjumpa dengan kementeriannya jika memerlukan bantuan dana.
“Saya ingin melihat seni persembahan semakin berkembang di Sarawak.
“Sebelum ini Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg pernah memegang portfolio kementerian ini, oleh itu beliau mengetahui keperluan industri seni serta industri pelancongan,” katanya.
Beliau berkata demikian dalam sidang media sempena penganjuran Orkestra Simfoni Anime Borneo di sini hari ini.
Sementara itu, Abdul Karim berkata, pihaknya akan bekerjasama dengan pusat kebudayaan dan institut pengajian tinggi bagi mempromosikan indutri kreatif dan seni persembahan Sarawak.
Ujar beliau ini bagi meningkatkan kesedaran dan menghargai industri seni yang diusahakan oleh anak watan Bumi Kenyalang.
Mengenai penganjuran Orkestra Simfoni Anime Borneo, Abdul Karim berkata, acara itu julung kali diadakan di Sarawak pada 9 Disember 2023 bertempat di Dewan Sekolah Menengah Kebangsaan Lodge.
Persembahan orkestra itu menggabungkan kesenian muzik dan anime dengan menampilkan 55 pemain orkestra dari Persatuan Wind Orchestra Kuching.
Untuk pembelian tiket, sila layari https://thebandlab.com/anime – TVS