Search
Close this search box.
Search
Close this search box.
enteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Sabah, Sarawak dan Tugas-Tugas Khas) merangkap Ahli Parlimen Papar Datuk Armizan Mohd Ali ketika Persidangan Dewan Negara di Bangunan Parlimen hari ini. Foto, Bernama.

Kerajaan cadang perkenal akta khusus pengurusan bencana

ByBernama

KUALA LUMPUR, 30 Nov: Dewan Rakyat hari ini diberitahu bahawa kerajaan berhasrat memperkenalkan akta khusus untuk menambah baik dan mempertingkatkan kesiapsiagaan pengurusan bencana.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Sabah, Sarawak dan Tugas-Tugas Khas) Datuk Armizan Mohd Ali berkata pada masa sama, Dasar Pengurangan Risiko Bencana Kebangsaan (DRR) juga sedang digubal.

Beliau berkata usaha untuk memperkemaskan persiapan dan mekanisme pengurusan bencana yang lebih baik itu dibuat memandangkan negara sentiasa berdepan ancaman bencana alam seperti banjir setiap kali Monsun Timur Laut.

“Kerajaan sedang mempertimbangkan untuk mewujudkan akta khusus untuk meningkatkan kesiapsiagaan kita berdepan bencana dan sebaik mendapat kelulusan dasar daripada Kabinet nanti, kita akan buat pelbagai sesi libat urus.

“Sebaik Perdana Menteri (Datuk Seri Anwar Ibrahim) mengumumkan (perkara berkaitan pengurusan bencana) dalam KSP (Kajian Separuh Penggal Rancangan Malaysia ke-12) lepas, pertama yang dilaksanakan ialah menyemak semula Arahan Majlis Keselamatan Negara, selain kita juga dalam proses menggubal dasar DRR,” katanya pada sesi Waktu Pertanyaan-Pertanyaan Menteri di Dewan Rakyat hari ini.

Armizan menjawab soalan Datuk Siti Zailah Mohd Yusoff (PN-Rantau Panjang) berhubung perancangan kerajaan dalam memastikan semua agensi sentiasa bersedia menguruskan bencana alam yang semakin rumit dan pelbagai serta perincian pembinaan Pusat Pemindahan Kekal Bencana (PPKB).

Menurut Armizan, model pengurusan bencana diamalkan di Malaysia adalah berdasarkan amalan terbaik yang turut diamalkan negara-negara lain iaitu pengurusan oleh agensi berpusat.

“Jika kita rujuk kepada United Nations Office for Disaster Risk Reduction (UNDRR), terdapat 144 negara yang mengunakan amalan sama iaitu kita tidak mengesampingkan sebaliknya mengambil kira kepelbagaian akta berkaitan fungsi menteri dan perintah di bawahnya.

“Masing-masing dengan akta masing-masing tetapi diselaraskan melalui satu agensi berpusat iaitu NADMA (Agensi Pengurusan Bencana Negara). Namun banyak yang perlu kita lakukan untuk tambah baik pengurusan bencana,” katanya.

Mengenai PPKB, Armizan berkata proses prapelaksanaan projek merangkumi penyediaan spesifikasi dan reka bentuk bangunan sudah dimulakan Jabatan Kerja Raya (JKR) selaku agensi pelaksana.

Katanya kerajaan menjangkakan proses perolehan dapat dimuktamadkan pada suku pertama tahun depan untuk memastikan projek tersebut dapat disiapkan segera.

Sebelum ini, Perdana Menteri berkata PPKB akan diwujudkan dengan projek rintis dimulakan di sembilan negeri, melibatkan kos siling RM5 juta bagi setiap pusat dan bakal menjadi satu kemudahan perlindungan mangsa banjir yang lebih baik berbanding pusat pemindahan sementara (PPS). – TVS

TVS provides up-to-date news, captivating dramas, and diverse program which are disseminated via channel 122 MYTV, UnifiTV and ASTRO. Stream live via MYTV Mana-Mana, UnifiTV and ASTRO GO apps now.

Follow us on social media:
Facebook: @tvsarawak , @tvs122

Instagram: @tvsarawak, @TVS_Entertainment

Telegram: @tvsarawak

TikTok: @tvsarawak, @tvs_entertainment

X: @tvsarawak

YouTube: @tvsarawak, @TVSEntertainment

Berita Berkaitan