KUCHING, 29 Nov: Kerajaan Sarawak akan menganjurkan sebuah siri jelajah ke seluruh negeri bertujuan mendekati rakyat selain menjelaskan setiap dasar dan polisi kerajaan dengan lebih mudah.
Timbalan Menteri di Jabatan Premier Sarawak (Hal Ehwal Korporat, Penerangan dan Unit Komunikasi Awam Sarawak) Datuk Abdullah Saidol berkata program tersebut dijadualkan akan diadakan pada tahun hadapan.
“Ada masyarakat di luar sana masih tidak faham dan kurang faham tentang intipati belanjawan ini serta beberapa undang-undang yang telah diperkenalkan di sini dan saya yakin agensi seperti UKAS, TVS dan pihak-pihak kementerian akan mengadakan program jelajah ke serata Sarawak.
“Ini bagi membolehkan mereka mengadakan program libat urus dengan masyarakat untuk memberi penjelasan terutamanya Belanjawan Sarawak 2024 yang diumumkan oleh Premier Sarawak merangkap Menteri Kewangan dan Ekonomi Baharu Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg yang mana ia melibatkan kebajikan mereka,” katanya ketika ditemui TVS di DUN Sarawak di sini pada Rabu.
Dalam pada itu, beliau menyifatkan kunjungan daripada pihak sekolah, badan bukan kerajaan (NGO) dan agensi-agensi berkaitan ke persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Sarawak membuka peluang dan ruang kepada kerajaan negeri untuk menberi penjelasan lebih lanjut kepada rakyat, apa yang dibahaskan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) mereka.
Pada masa sama, beliau tidak menyangka persidangan DUN Sarawak kali ini telah menarik ramai masyarakat di luar sana untuk datang menyaksikan sendiri siri pembentangan yang dibentangkan oleh setiap menteri serta pembentangan bacaan kali pertama dan kali kedua Belanjawan Sarawak 2024.
Sementara, Abdullah yang juga ADUN Semop berharap di masa-masa akan datang, warga belia wajar mengambil kesempatan untuk datang menyaksikan sendiri wakil rakyat mereka berdebat dan menyuarakan hasrat mereka dari kawasan masing-masing.
“Umum kita tahu Belanjawan Sarawak 2024 yang dibentangkan oleh Premier Sarawak merupakan belanjawan yang tersebar sekali dibentangkan di sini yang mana 70 peratus daripadanya ke arah pembangunan luar bandar.
“Terdapat juga pembentangan beberapa undang-undang yang telah diluluskan di sini seperti RUU Ombudsman Sarawak 2023 dan RUU Alam Sekitar (Pengurangan Pelepasan Gas Rumah Hijau) telah menarik minat ramai NGO serta pelajar-pelajar melihat sendiri pembentangan tersebut,” katanya lagi.
Beliau turut berharap persidangan DUN Sarawak akan datang turut berjaya menarik lebih ramai pelawat berbanding persidangan kali ini. – TVS