KUCHING, 30 Nov: Graduan Institut Pertanian Sarawak (IPS) disaran agar mendalami kemahiran teknologi bagi membolehkan mereka memenuhi kehendak industri pada era digital ini.
Menteri Industri Makanan, Komoditi dan Pembangunan Wilayah, Dato Sri Dr Stephen Rundi Utom berkata mereka harus melengkapkan diri dengan pengetahuan dan kemahiran teknologi terutamanya di ambang Revolusi Industri 4.0 (IR 4.0) berikutan ia akan menjadikan sektor pertanian terus bergerak ke hadapan.
“Pengetahuan dan kemahiran ini dapat menjadikan anda sebagai insan yang berdaya saing bagi memenuhi kehendak industri dalam era digital ini.
“Para graduan juga bertanggungjawab memainkan peranan dalam mentransformasikan dan memodenkan sektor pertanian dengan menyumbang tenaga dalam bidang pertanian sama ada bekerja makan gaji mahupun sebagai usahawan tani,” katanya.
Rundi berkata demikian dalam teks ucapan yang dibacakan Timbalan Menteri Industri Makanan, Komoditi dan Pembangunan Wilayah Sarawak, Datuk Dr Abdul Rahman Ismail pada Majlis Konvokesyen Ke-18 Program Sijil Pertanian dan Sijil Kemahiran Malaysia sesi 2021/2023 di Kuching, hari ini.
Sementara itu, Pengarah Pertanian Sarawak, Dominic Chunggat menyarankan agar graduan IPS menceburkan diri bidang usahawan kerana ia menyumbang kepada pengeluaran dan keterjaminan makanan negara.
“Walau bagaimanapun, peratusan graduan usahawan masih terlalu rendah iaitu hanya tiga peratus. Oleh itu, saya menyeru agar graduan yang berhasrat untuk menjadi usahawan tani, hendaklah bermula dari sekarang.
“Usahakan tanah keluarga dan seterusnya boleh memohon sebarang projek pembangunan pertanian yang berkaitan sebagai usaha untuk memperbesarkan lagi perusahaan masing-masing,” ujarnya.
Pada masa yang sama, Dominic menyatakan sejak tahun 1985, IPS telah melahirkan seramai 1,931 orang graduan.
Tambahnya, kebolehpasaran graduan tahun 1985 hingga 2022 institut itu telah mencapai 87 peratus iaitu sebanyak 58 peratus bekerja dengan kerajaan, lima peratus bekerja dengan badan berkanun, 20 peratus bekerja dengan syarikat swasta dan tiga peratus menjadi usahawan.
Dari segi sektor pula, sebanyak 89 peratus bekerja dalam sektor pertanian dan 10 peratus bekerja dalam sektor bukan pertanian.
Untuk rekod, majlis tersebut menyaksikan seramai 86 orang graduan yang telah menamatkan Program Sijil Pertanian dan 24 orang graduan Sijil Kemahiran Malaysia di IPS.
Turut hadir, Timbalan Menteri Industri Makanan, Komoditi dan Pembangunan Wilayah (Komoditi dan Pembangunan Wilayah), Datuk Martin Ben dan Pengetua IPS, Monica Jessica Sihoi. – TVS