GEORGE TOWN, 29 Nov: Tiga pekerja warga asing dilaporkan terkorban, manakala empat lagi masih hilang dalam insiden runtuhan struktur sebuah gudang logistik yang sedang dalam pembinaan di Bayan Lepas di sini semalam.
Ketua Polis Pulau Pinang, Datuk Mohamed Usuf Jan Mohamad berkata, kejadian kira-kira 9.45 malam itu berlaku apabila satu rasuk pembinaan runtuh sehingga menyebabkan 14 rasuk lain turut jatuh.
Katanya, kejadian itu dipercayai membabitkan sembilan pekerja warga Bangladesh yang berada di bahagian bawah telah dihempap struktur konkrit yang setiap satu sepanjang lebih 12 meter dan seberat kira-kira 14 tan.
“Semasa kejadian terdapat 18 pekerja, namun sembilan daripadanya dikatakan pergi sembahyang dan sembilan lagi berada di tempat itu.
“Setakat ini (1.40 pagi), dua meninggal dunia di tempat kejadian, seorang di hospital dan dua lagi cedera parah dan dirawat di Hospital Pulau Pinang,” katanya ketika ditemui pemberita di lokasi kejadian hari ini.
Ujar beliau, pihaknya percaya terdapat empat lagi mangsa yang dikhuatiri masih terperangkap di bawah runtuhan tersebut.
Sementara itu, Timbalan Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Pulau Pinang, Zulfahmi Sutaji berkata, pihaknya akan meneruskan operasi berkenaan sehingga kesemua mangsa ditemui dengan bantuan dua buah kren.
“Kesukaran kita adalah kerana melibatkan struktur-struktur konkrit yang berat dan memerlukan bantuan kren untuk memudahkan akses kepada empat lagi mangsa.
“Kawasan pencarian itu adalah anggaran seluas gelanggang bola keranjang dan turut dibantu Unit Anjing Pengesan (K9),” katanya.
Dalam pada itu, Konsul Kehormat Bangladesh, Datuk Shaik Ismail Allaudin yang turut berada di lokasi kejadian berkata, pihaknya masih menunggu maklumat berhubung identiti mangsa terlibat. – TVS