MUKAH, 29 Nov: Seorang lagi mangsa kemalangan jalan raya yang melibatkan sebuah kenderaan utiliti sukan (SUV) dan sebuah jengkaut di kilometer 65, Jalan Mukah-Selangau pada petang semalam dilaporkan meninggal dunia menjadikan jumlah terkorban setakat ini, dua orang.
Mangsa, Sima Galih, 39, yang dirujukkan ke Hospital Sibu disahkan meninggal dunia pada jam 11.29 malam pada Selasa.
Ketua Polis Daerah Mukah, Deputi Superintendan (DSP) Muhamad Rizal Alias berkata mangsa merupakan ibu kepada Elvin Frederick Richelle Baya, 15, yang meninggal dunia ketika menerima rawatan di Klinik Kesihatan Simpang Bukut, di sini pada jam 2.28 petang malam tadi.
“Untuk makluman isteri kepada pemandu SUV juga telah disahkan meninggal dunia semasa menerima rawatan lanjut di Hospital Sibu,” katanya ketika dihubungi TVS hari ini.
Menurutnya, pemandu SUV berusia 40 tahun dan dua anaknya termasuk anak perempuannya berusia 13 tahun dan anak lelaki berusia lima tahun hanya mengalami cedera ringan manakala pemandu jengkaut dilaporkan tidak mengalami sebarang kecederaan.
“Pemandu SUV dan dua lagi anaknya dilaporkan berada dalam keadaan selamat selepas menerima rawatan sebagai pesakit luar di Hospital Mukah,’ jelasnya lanjut.
Dalam kejadian pada jam 1.30 petang Selasa itu, kemalangan yang melibatkan dua sebuah kenderaan apabila SUV yang dinaiki lima sekeluarga hilang kawalan dan merempuh sebuah jengkaut yang berada di bahu jalan di lokasi kejadian.
Akibat itu, katanya lima sekeluarga yang mengalami kecederaan telah dikejarkan ke Kesihatan Simpang Bukut dekat sini terlebih dahulu. -TVS