KUCHING, 29 Nov: Sarawak mahu melibatkan diri dalam rantaian ekonomi Islam yang dianggarkan akan meningkat sebanyak 2.8 juta dolar Amerika menjelang 2025.
Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg berkata, penglibatan Sarawak dalam rantaian ekonomi Islam dunia tidak terhad kepada produk makanan dan perkhidmatan halal sahaja, tetapi dalam mengatasi masalah global.
“Kita mahu memberikan penyelesaian kepada masalah seperti perubahan iklim dan keterjaminan makanan di peringkat dunia.
“Untuk memenuhi visi ini, Sarawak kini dalam usaha mentransformasikan ekonominya yang berasaskan teknologi dalam mengeluarkan tenaga mampan seperti kuasa hidro dan hidrogen.
“Kita juga sedang meneroka penggunaan pelet kayu bagi pengeluaran tenaga biojisim dan juga prospek mengintegrasikan angin dan solar sebagai sumber tenaga alternatif,” katanya ketika berucap di Majlis Makan Malam sempena Forum Perniagaan Muslim Global (GMBF) 2023 di Borneo Convention Centre Kuching (BCCK) malam tadi.
Berkenaan dengan keterjaminan makanan, Sarawak menubuhkan Hab Halal, Zon Pengeluaran Makanan Kekal dan Taman Agro di kawasan strategik di mana integrasi penggunaan teknologi tinggi dan amalan kerja mampan akan dipraktikkan.
Langkah yang sama juga kata beliau, akan diguna pakai dalam membangunkan lagi industri penternakan Sarawak bagi mengekalkan kelestarian alam sekitar.
Dalam masa sama, Abang Johari menyeru pemimpin dunia Islam di seluruh dunia untuk mengadaptasikan penggunaan teknologi dalam pelbagai industri bagi menghadapi prospek ekonomi dunia yang kian mencabar. – TVS