GEORGE TOWN, 29 Nov: Polis telah mengenal pasti identiti sembilan mangsa yang terbabit dalam tragedi runtuhan struktur sebuah gudang logistik yang sedang dalam pembinaan di Bayan Lepas di sini.
Timbalan Ketua Polis Pulau Pinang, Datuk Mohamed Usuf Jan Mohamad berkata, tiga mangsa yang meninggal dunia serta dua yang cedera parah dan masih dirawat di Hospital Pulau Pinang disahkan warga Bangladesh.
“Mereka dikenal pasti berumur antara 22 hingga 46 tahun.
“Setakat ini empat lagi masih hilang di bawah runtuhan dan identiti turut dikenal pasti,” katanya kepada pemberita hari ini.
Belau berkata demikian ketika mengiringi Ketua Menteri, Chow Kon Yeow yang melakukan tinjauan di lokasi kejadian.
Tambah beliau, punca kejadian masih dalam siasatan dan akan dijalan Lembaga Pembangunan Industri Pembinaan Malaysia (CIDB) serta pihak-pihak berkaitan.
“Keselamatan (pasukan mencari dan menyelamat) diutamakan memandangkan keadaan sangat bahaya di sini.
“Pasukan Mencari dan Menyelamat Khas (SMART) bomba sedang cuba mengalihkan (runtuhan) rasuk dan sekarang prosesnya dikatakan hampir 80 peratus,” katanya lagi.
Dalam kejadian kira-kira pukul 9.45 malam semalam, tiga disahkan maut, dua cedera parah dan empat masih hilang selepas sebuah rasuk konkrit runtuh sehingga menyebabkan 14 rasuk lain turut roboh dan menghempap mangsa.
Ketika kejadian, 18 pekerja sedang bertugas dengan sembilan daripadanya terselamat apabila sempat meninggalkan lokasi kejadian lebih awal untuk menunaikan solat. – TVS