TANJUNG MANIS, 29 Nov: Operasi mencari dan menyelamat (SAR) seorang lelaki yang masih hilang di Batang Paloh ditangguhkan semalam, selepas tiada sebarang penunjuk positif sepanjang operasi itu dijalankan sejak tujuh hari lalu.
Pusat Gerakan Operasi Bomba Sarawak (PGOB) dalam kenyataannya memberitahu, sepanjang pencarian, pasukan penyelamat tidak menemui apa-apa petanda mangsa di sekitar tempat kejadian.
“Kita berbincang bersama keluarga mangsa dan ketua masyarakat Kampung Berangan pada jam 2.30 petang sebelum operasi ditangguh kira-kira tiga jam kemudian.
“Keluarga mangsa bersetuju operasi SAR ditangguhkan namun sekiranya orang kampung menjumpai sebarang petanda, mereka perlu menghubungi pihak polis dengan segera,” katanya.
Mangsa, Beliang Ajah, 53, dipercayai ke kawasan yang terkira-kira 30 minit perjalanan bot dari rumah panjang Berangan itu seorang diri untuk mencari kayu bakau.
Bagaimanapun, beliau tidak kembali ke rumah hingga lewat petang sebelum dilaporkan hilang sejak Rabu minggu lalu. – TVS