GEORGE TOWN, 29 Nov: Majlis Bandaraya Pulau Pinang (MBPP) mengeluarkan arahan bagi menghentikan serta merta kerja di tapak projek pembinaan gudang logistik di Bayan Lepas di sini yang runtuh sehingga meragut tiga nyawa pekerja semalam.
Datuk Bandar MBPP, Datuk A. Rajendran berkata, notis henti kerja dikeluarkan pagi tadi kepada pemaju dan perunding projek.
“Notis henti kerja dikeluarkan serta-merta pada 8 pagi dan notis itu telah diserahkan kepada pemaju projek dan jurutera perunding,” katanya kepada pemberita ketika meninjau lokasi itu hari ini.
Sementara itu, beliau berkata, projek berkenaan diberi kebenaran untuk dijalankan secara sepenuh masa dan ia berjalan mengikut jadual ketika kejadian tersebut.
“Ini adalah projek ‘fast-track’ yang diberi kebenaran (oleh MBPP) dan kerja-kerja pembinaan boleh dijalankan pada waktu malam kerana ia terletak jauh dari kawasan kediaman,” katanya.
Insiden yang berlaku kira-kira pukul 9.45 malam semalam itu dipercayai menyebabkan sembilan pekerja dihempap struktur rasuk konkrit yang runtuh.
Setakat pagi ini, tiga disahkan maut, dua cedera parah dan empat lagi dikhuatiri masih tertimbus di bawah runtuhan. – TVS