Kuching, 29 NOV: Kerajaan negeri sedang merangka idea untuk mewujudkan sebuah lembaga pengangkutan di Sarawak yang melambangkan langkah strategik Sarawak ke hadapan, kata Premier Sarawak Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg.
Menurut beliau inisiatif kerajaan itu akan menggunakan hidrogen hijau dalam pengangkutan awam sekali gus sejajar dengan matlamat Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB) untuk memerangi perubahan iklim dan mencapai sasaran Sifar Pelepasan Karbon menjelang 2050.
âKita (kerajaan) sedang mengkaji model Penguasa Pengangkutan Darat (LTA) Singapura, di mana pihak berkuasa tersebut merancang dan menguruskan keseluruhan sistem pengangkutan awam Singapura melalui penyertaan sektor swasta yang aktif.
âSistem pengangkutan awam Kuching melalui Transit Aliran Autonomi (ART) dikuasakan oleh hidrogen hijau berada di landasan yang betul. ART kini sedang menjalani latihan pembuktian konsep (POC) sehingga 15 Disember 2023,” katanya di Dewan Undangan Negeri (DUN) Sarawak hari ini.
Dalam pada itu, beliau mendedahkan juga kontrak yang diberikan baru-baru ini kepada Blue Line turut menandakan permulaan aktiviti pembinaan besar-besaran untuk projek ART.
âSaya yakin ART Kuching akan siap mengikut jadual dan mula beroperasi pada suku keempat 2025. Pada masa yang sama, kerajaan merancang untuk membangunkan projek ART di Bintulu,â ujarnya.
Tegas Abang Johari, transformasi sektor pengangkutan di Sarawak mesti diuruskan melalui pendekatan holistik dan bersepadu untuk memastikan penyampaian perkhidmatannya memenuhi permintaan rakyat.
Malahan, beliau berkongsi berkenaan semasa Mesyuarat Majlis Matlamat Pembangunan Mampan (SDG) Negara 2023, wakil Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu, Tuan Yang Terutama, Cik Karima El Korri telah memuji inisiatif Sarawak dalam mempromosikan SDG dan tenaga hijau. – TVS