Search
Close this search box.
Search
Close this search box.
Premier Sarawak Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg. Foto, TVS.

DUN: Pinda Ordinan Sumber Asli dan Alam Sekitar 1993, usaha Sarawak perkasakan autonomi

ByMuqri Aziz

KUCHING, 29 Nov: Kerajaan negeri berhasrat meminda Ordinan Sumber Asli dan Alam Sekitar 1993 bagi memperkasa pemindahan autonomi alam sekitar kepada Sarawak selepas Kerajaan Persekutuan bersetuju secara prinsip untuk mengembalikan autonomi berkenaan.

Premier Sarawak Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg berkata keputusan itu telah dibuat pada Mesyuarat Jawatankuasa Teknikal dibawah Majlis Tindakan Pelaksanaan Perjanjian Malaysia 1963 (MA63) yang dipengerusikan Timbalan Perdana Menteri pada 18 Julai lalu di Putrajaya.

Katanya, antara lain yang telah dipersetujui ialah tuntutan untuk mempunyai wakil Sarawak dalam Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN).

“Persidangan Dewan Rakyat pada 11 Oktober 2023 telah meluluskan Akta Lembaga Hasil Dalam Negeri Malaysia (Pindaan) 2023 untuk, antara lain, memperuntukkan pelantikan wakil dari Sarawak sebagai ahli tetap Lembaga Hasil Dalam Negeri.

“Pelantikan dan pembatalan ahli yang mewakili Sarawak di bawah Akta ini hanya boleh dilaksanakan selepas berunding dengan Premier Sarawak,” kata beliau dalam sesi penggulungan pada persidangan hari ke-8 DUN Sarawak di sini hari ini.

Beliau juga mendedahkan mesyuarat itu juga bersetuju isu-isu mengenai autonomi kesihatan dan pendidikan kepada Sarawak dan Sabah akan dibincangkan selanjutnya di bawah Jawatankuasa Penyelarasan Khas yang akan dipengerusikan bersama oleh Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Sabah, Sarawak dan Tugas-Tugas Khas) bersama Menteri Kesihatan dan Menteri Pendidikan.

Antara lain, Abang Johari berkata Kerajaan Persekutuan juga bersetuju untuk memulangkan 52 lot tanah Persekutuan yang belum dibangunkan kepada Kerajaan Sarawak serta memperoleh tanah daripada FLC pada kos perolehan asalnya.

Dalam pada itu, Abang Johari memberitahu pertambahan jumlah bilangan kerusi parlimen bagi Sarawak dan Sabah kepada 35 peratus telah mendapat maklum balas positif daripada Kerajaan Persekutuan.

“Saya optimis selepas beberapa siri perbincangan jawatankuasa bersama, cadangan tersebut akan disahkan oleh mesyuarat Jawatankuasa Teknikal MA63 dan seterusnya dibawa ke mesyuarat Kabinet Persekutuan.

“Pada masa yang sama, kerajaan kita akan terus berunding dan memperjuangkan formula baharu bagi Pemberian Khas di bawah Perkara 112D dengan Kerajaan Persekutuan bagi memastikan hasil Sarawak adalah mencukupi untuk menampung kos perkhidmatan negeri,” ujarnya.

Tegas Abang Johari, Kerajaan Sarawak memohon keputusan yang baik daripada rundingan dengan Kerajaan Persekutuan supaya hak-hak seperti yang terkandung dalam MA63, Suruhanjaya Cobbold, Laporan IGC dan Perlembagaan Persekutuan dapat dipulihkan dan dilindungi. – TVS

TVS provides up-to-date news, captivating dramas, and diverse program which are disseminated via channel 122 MYTV, UnifiTV and ASTRO. Stream live via MYTV Mana-Mana, UnifiTV and ASTRO GO apps now.

Follow us on social media:
Facebook: @tvsarawak , @tvs122

Instagram: @tvsarawak, @TVS_Entertainment

Telegram: @tvsarawak

TikTok: @tvsarawak, @tvs_entertainment

X: @tvsarawak

YouTube: @tvsarawak, @TVSEntertainment

Berita Berkaitan