KUALA LUMPUR, 28 Nov: Rang Undang-Undang Kewangan Awam dan Tanggungjawab Fiskal 2023 yang diluluskan Dewan Negara hari ini dijangka dapat meningkatkan keyakinan pelabur tempatan dan asing, sekali gus melonjakkan kemasukan pelaburan langsung asing (FDI) ke dalam negara.
Senator Datuk Sivaraj Chandran berkata rang undang-undang tersebut dilihat mampu meyakinkan pelabur mengenai pengurusan kewangan negara dan kecekapan kerajaan dalam mengurangkan ketirisan, serta meningkatkan kecekapan kerajaan dan agensi kerajaan.
“Ini akan menggalakkan mereka untuk melabur berbillion ringgit tanpa keraguan terhadap kestabilan pelaburan mereka di dalam negara,” katanya pada sesi perbahasan rang undang-undang tersebut yang dibaca kali kedua di Dewan Negara hari ini.
Sivaraj berkata komponen di bawah rang undang-undang tersebut seperti perbelanjaan awam, pengurusan pinjaman dan hutang, pengurusan risiko serta jaminan kerajaan merupakan aspek yang penting dalam memastikan pengurusan ekonomi negara berada di landasan yang cekap, telus dan baik.
Beliau turut menzahirkan kepercayaan dana kerajaan Persekutuan akan dapat dibelanjakan dengan lebih berhemat tanpa ketirisan.
Rang Undang-Undang Kewangan Awam dan Tanggungjawab Fiskal 2023 bertujuan mengadakan peruntukan bagi tanggungjawab, kebertanggungjawaban, tadbir urus dan ketelusan kerajaan dalam menguruskan kewangan awam dan risiko fiskal.
Pada awal tahun ini, Timbalan Menteri Kewangan I Datuk Seri Ahmad Maslan berkata Akta Tanggungjawab Fiskal itu akan merangkumi beberapa komponen antaranya had peratusan hutang kerajaan tidak melebihi 65 peratus daripada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) serta menanggung bayaran khidmat hutang yang tidak melebihi 15 peratus daripada belanjawan tahunan Kerajaan Persekutuan. -TVS