KUCHING, 28 Nov: Sukan Sarawak (SUKSAR) Sibu 2023 yang bakal menghimpunkan seramai 1,800 atlet dari seluruh negeri menjadi platform untuk mencungkil bakat baharu sebagai persediaan Sukan Malaysia (SUKMA) 2024, kata Dato Sri Abdul Karim Rahman Hamzah.
Menteri Pelancongan, Industri Kreatif dan Seni Persembahan Sarawak itu berkata, ia juga wadah pendedahan awal kepada calon pemenang pingat berpotensi di SUKMA 2024.
“Ini untuk meneroka perkongsian dengan persatuan sukan dalam menganjurkan pertandingan, serta persediaan pegawai teknikal bagi sukan tertentu di SUKMA nanti.
“Terdapat 13 sukan yang dipilih meliputi angkat berat, berbasikal, bola keranjang, bola tampar, futsal, hoki, judo, karate, silat, sepak takraw, tinju, taekwondo dan wushu,” katanya ketika menggulung perbahasan bagi kementeriannya pada Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) di sini, hari ini.
Beliau menambah kesemua atlet terlibat terdiri daripada Zon Utara (Limbang, Miri, Bintulu), Zon Tengah (Mukah, Sibu, Kapit), Zon Barat (Sarikei, Betong, Sri Aman), dan Zon Selatan (Kuching, Samarahan, Serian).
Selain itu, Majlis Sukan Negeri Sarawak (MSN) akan meneruskan Program Pembangunan Sukan, di mana ia akan memberi fokus kepada atlet muda dari peringkat akar umbi di kawasan bandar dan luar bandar, serta memberi mereka kemahiran yang diperlukan untuk berprestasi di peringkat yang lebih tinggi.
“Inisiatif yang telah dijalankan seiring dengan program tersebut adalah seperti Sports On the Wheels, memperkenalkan sukan dan mencari bakat potensi besar untuk Sarawak.
“Ia juga mempromosikan perkhidmatan sains sukan, serta menyampaikan idea inovatif mencungkil bakat sukan kepada masyarakat melalui kecerdasan fizikal dengan aktiviti permainan,” katanya.-TVS