KUCHING, 28 Nov: Majlis Kraftangan Sarawak (SCC) bakal mengumumkan struktur organisasi dan pembiayaan operasinya pada suku pertama tahun 2024, kata, Dato Sri Abdul Karim Rahman Hamzah.
Menteri Pelancongan, Industri Kreatif dan Seni Persembahan Sarawak itu berkata majlis itu dijadualkan memulakan operasi melalui pengumuman pertama Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) ketika itu.
Sementara itu, beliau turut mendedahkan bahawa saiz pasaran kraf tangan bertambah dari USD752 bilion pada tahun 2022 dan dijangka mencapai USD789 bilion pada tahun 2023 secara global.
“Sarawak mencatatkan jumlah penjualan sebanyak RM21.5 juta pada tahun 2022 dan hingga Oktober 2023, jumlah penjualan adalah RM18.3 juta.
“Manakala, kraf tangan Malaysia pula melaporkan bahawa saiz pasaran seluruh negara telah meningkat sebanyak 20 peratus berbanding tahun lepas, dengan penjualan meningkat dari RM186.4 juta pada tahun 2022 kepada RM223.6 juta pada tahun 2023 dari Januari hingga Ogos,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika menyampaikan Ucapan Penggulungan Mesyuarat Kedua Bagi Penggal Kedua Dewan Undangan Negeri (DUN) Sarawak Ke-19 di sini, hari ini.
Abdul Karim turut menambah Kraftangan Malaysia, Cawangan Sarawak juga melaporkan bahawa bilangan pengeluar kraf tangan yang berdaftar di Sarawak telah meningkat dari 1,096 pada tahun 2022 kepada 1,195 pada tahun 2023.
“Daerah Miri mencatatkan jumlah tertinggi sebanyak 340, diikuti oleh Kuching (293) dan Kapit (239).
“Di bawah Strategi Pembangunan Pasca COVID-19 (PCDS) 2030, sasaran jumlah pengeluar adalah 1,800 menjelang tahun 2030,” ujarnya.
Terdahulu, Rang Undang-Undang (RUU) Majlis Kraf Sarawak telah diluluskan oleh Dewan Undangan Negeri (DUN) pada 16 Mei 2023, diperkenankan oleh Yang di-Pertua Negeri pada 23 Mei 2023, dan diwartakan pada 30 Mei 2023. – TVS