KUCHING, 28 Nov: Kementerian Kesihatan Awam, Perumahan dan Kerajaan Tempatan Sarawak (KPKT) melalui Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sarawak berjaya mendapatkan peruntukan sebanyak RM10.5 juta untuk pembinaan balai baharu di Sarawak.
Menterinya, Datuk Amar Dr Sim Kui Hian berkata, daripada jumlah peruntukan tersebut, RM3.5 juta untuk pelaksanaan fizikal Stesen Bomba Kota Sentosa dan RM7 juta untuk Stesen Bomba Sungai Asap pada tahun 2024.
“Kementerian saya melalui JBPM Sarawak telah mengemukakan permintaan untuk penubuhan kategori baharu stesen bomba bagi kawasan luar bandar di Sarawak.
“Keperluan teknikal dan kewangan bagi stesen bomba baharu ini sedang dikaji semula, dan jabatan kini masih melakukan analisis situasi sebelum menyempurnakan cadangan dan penghantaran kepada Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT),” katanya.
Beliau berkata demikian dalam ucapan penggulungan bagi kementeriannya pada Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Sarawak di sini, hari ini.
Tambahnya lagi, Bomba Sarawak juga telah mengenal pasti tanah yang sesuai untuk stesen bomba baharu di Sebuyau yang telah dikemukakan kepada Putrajaya untuk pengesahan dan kelulusan mereka.
Manakala, stesen bomba yang dicadangkan di Dalat dan Batu Kawa juga telah dikemukakan kepada Unit Pelaksanaan dan Koordinasi (ICU), Jabatan Perdana Menteri untuk peruntukan bajet di bawah Rolling Plan 4 di dalam Rancangan Malaysia Ke-12 (RM Ke-12).
Dalam pada itu, Dr Sim juga memberitahu bahawa setakat Oktober 2023, Bomba Sarawak berjaya menyelamat dan memelihara harta perumahan yang bernilai RM1.15 bilion. -TVS