Search
Close this search box.
Search
Close this search box.
Muzium Budaya Borneo
Muzium Budaya Borneo (BCM). Foto: Gambar Hiasan

DUN: Lebih 14,000 dokumen sejarah diperoleh secara proses pendigitalan

ByLorenzo Isaac Ak Anthony

KUCHING, 28 Nov: Jabatan Muzium Sarawak telah melaksanakan proses pendigitalan sebanyak 14,889 dokumen sejarah negeri sebagai usaha untuk mengekalkan identiti warisan tempatan.

Menteri Pelancongan, Industri Kreatif, dan Seni Persembahan Sarawak, Dato Sri Abdul Karim Rahman Hamzah berkata antara dokumen sejarah itu termasuklah peta-peta lama, manuskrip, catatan lapangan, dan log buku koleksi.

Menurutnya proses pendigitalan itu menggunakan sistem Thermo Lignum, satu-satunya mesin di Malaysia dalam kawalan perosak kimia percuma.

“Sejak diperkenalkan pertama kali pada Jun 2023, Thermo Lignum telah berjaya merawat 322 koleksi muzium,” katanya dalam ucapan penggulungan pada Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Sarawak, hari ini.

Tambahnya lagi, proses pendigitalan ini masih dijalankan untuk meningkatkan aksesibiliti kepada pengunjung yang lebih luas dan juga untuk memastikan jabatan mempunyai rekod sandaran untuk semua koleksi.

“Jabatan ini juga telah menukarkan 654 pita kaset ke dalam format digital. Audio digital ini telah dimuat naik ke dalam sistem ATHENA yang merupakan Sistem Pengurusan Kandungan Digital,” ujarnya.

Setakat ini, Abdul Karim mendedahkan bahawa jumlah keseluruhan koleksi Jabatan Muzium Sarawak telah mencapai 402,256 di mana koleksi arkeologi merupakan yang terbesar dengan 250,205 (62.2%) item, diikuti oleh 107,000 (26.6%) spesimen zoologi, 21,766 (5.4%) artifak etnologi, 16,885 (4.2%) koleksi Audio Visual, dan 6,400 (1.6%) dokumen sejarah.

Dalam pada itu, Abdul Karim turut memberitahu bahawa usaha Jabatan Muzium Sarawak itu telah menarik perhatian orang ramai dalam pemulangan beberapa objek-objek Borneo dari seluruh dunia.

“Antara objek yang dipulangkan adalah dua parang Orang Ulu yang asalnya diperolehi oleh Mr. Duncan Shimwell McDougal, seorang pegawai pada zaman Brooke pada tahun 1920-an.

“Selain itu, jabatan juga menerima 19 cetakan gambar-gambar lama Sarawak, 19 objek dari Bau, satu pua kumbu dari Australia, dan 2 aksesori manik dari Amerika Syarikat.

Secara keseluruhan, jabatan menerima 43 objek pada tahun ini,” dedahnya lagi. – TVS

TVS provides up-to-date news, captivating dramas, and diverse program which are disseminated via channel 122 MYTV, UnifiTV and ASTRO. Stream live via MYTV Mana-Mana, UnifiTV and ASTRO GO apps now.

Follow us on social media:
Facebook: @tvsarawak , @tvs122

Instagram: @tvsarawak, @TVS_Entertainment

Telegram: @tvsarawak

TikTok: @tvsarawak, @tvs_entertainment

X: @tvsarawak

YouTube: @tvsarawak, @TVSEntertainment

Berita Berkaitan