KUCHING, Nov 28: Kerajaan Sarawak memberi jaminan bahawa bantuan sedia ada kepada golongan Orang Kelainan Upaya (OKU) masih diteruskan pada tahun hadapan, kata Dato Sri Fatimah Abdullah.
Menurut Menteri Pembangunan Wanita, Kanak-kanak dan Kesejahteraan Komuniti Sarawak itu, antara bantuan yang disalurkan adalah Elaun Pekerja OKU (EPOKU) dengan kadar RM450 sebulan, yang bakal memberi manfaat kepada 3,554 penerima dengan perbelanjaan RM 15.6 juta.
“Ia juga melibatkan bantuan Penjagaan OKU terlantar atau Pesakit Kronik Terlantar (BPT) dengan kadar RM500 sebulan yang memberi manfaat kepada 2,532 penerima dan perbelanjaan RM12.2 juta, dan Bantuan OKU Tidak Berupaya Bekerja (BTB) dengan kadar RM300 dan tambahan RM50 daripada Kerajaan Sarawak sebulan, memberi manfaat kepada 9,815 penerima dengan perbelanjaan RM 33.01 juta,” katanya.
Beliau berkata demikian dalam ucapan penggulungan bagi kementeriannya pada Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Sarawak di sini, hari ini.
Dalam pada itu, Fatimah turut memberitahu bahawa Elaun Pelatih di Pertubuhan Pemulihan Dalam Komuniti (PPDK) dan Program Pendidikan Khas Integrasi (PPKI) ditingkatkan dari kadar RM150 ke RM300 sebulan. – TVS