KUCHING, 28 Nov: Kira-kira 901,600 hektar Tanah Hak Adat Bumiputera (NCR) telah diluluskan untuk membangunkan pelbagai projek pembangunan pertanian setakat 31 Oktober 2023.
Menurut Menteri Industri Makanan, Komoditi dan Pembangunan Wilayah Sarawak, Dato Sri Dr Stephen Rundi Utom, daripada jumlah keseluruhan itu, kira-kira 601,500 hektar telah dibangunkan dengan berbagai tananam melibatkan 194,943 pemilik tanah.
“Antara tanaman yang ditanam ialah kelapa sawit, getah, lada, kelapa, sagu dan lain-lain aktiviti pertanian.
“Pada tahun 2023, kementerian saya telah menerima peruntukan berjumlah RM229,990 daripada Kerajaan Persekutuan untuk melaksanakan Program Pembangunan Tanah Hak Adat Bumiputera (NCR Land Development) di bawah Program Khas Bumiputera (PKB) Sarawak.
“Sehingga kini, daripada 138 permohonan telah dikemukakan melalui Jawatankuasa Kemajuan Kawasan (ADC) masing-masing melibatkan 462,500 hektar, 61 telah diluluskan meliputi keluasan keseluruhan 121,680 hektar,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika menggulung perbahasan bagi kementeriannya pada Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Sarawak di sini, hari ini.
Katanya, inisiatif tersebut bagi mengalakkan kesedaran mengenai program pembangunan tanah NCR dalam kalangan pemilik tanah dan pelabur dan antara program kesedaran termasuklah sesi penglibatan di antara pemilik tanah NCR, pemohon dan agensi pembangunan tanah.
Sementara itu, Rundi mengakui antara cabaran yang dihadapi Sarawak kini adalah pelaksanaan Peraturan Produk Bebas Penebangan Hutan (EUDR) yang merencatkan usaha kerajaan untuk membasmi kemiskinan dan seterusnya meningkatkan kesejahteraan sosio-ekonomi masyarakat Bumiputera di Sarawak.
“EUDR bukan sahaja akan menjejaskan penanaman kelapa sawit tetapi juga tanaman komoditi utama dan ternakan lain seperti getah, koko, kopi, soya, lembu dan kayu, serta produk yang diperoleh daripada komoditi lain.
“Peraturan ini bukan sahaja menyekat pembangunan di tanah NCR tetapi juga bercanggah dengan Agenda Matlamat Pembangunan Lestari Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNSDG),” ujarnya lagi.
Sehubungan itu, kementerian beliau akan bekerja rapat dengan Kementerian Perladangan dan Komoditi (MPIC) dan Majlis Pensijilan Minyak Sawit Malaysia (MPOCC) untuk merayu kepada EU memberikan pengecualian khas kepada tanah NCR supaya tidak menghalang komuniti Bumiputera dari meningkatkan kehidupan dan kesejahteraan pemilik tanah NCR. – TVS