Search
Close this search box.
Search
Close this search box.
Dato Sri Fatimah Abdullah. Foto fail, Faitullah Morni (TVS).

DUN: 81 peratus penerima bantuan KIRWaS berjaya jana pendapatan melebihi PGK

ByMuqri Aziz

KUCHING, 28 Nov: 81 peratus daripada 628 usahawan yang layak mendapat Bantuan Ketua Isi Rumah Wanita Sarawak (KIRWaS) telah berjaya menjana pendapatan melebihi Pendapatan Garis Kemiskinan (PGK).

Sehubungan itu, Menteri Pembangunan Wanita, Kanak-Kanak dan Kesejahteraan Komuniti Sarawak, Dato Sri Fatimah Abdullah berkata, bantuan berkenaan akan diteruskan lagi pada tahun 2024.

“Pemantauan kemajuan pendapatan usahawan akan dilakukan dalam tempoh enam bulan selepas penerimaan bantuan bagi memastikan kejayaan tahun 2022 diteruskan di mana 81 peratus penerima bantuan telah berjaya menjana pendapatan melebihi PGK.

“Bantuan tersebut akan diteruskan dengan peruntukan berjumlah RM300,000 bagi memberi manfaat kepada 600 penerima baharu,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam ucapan penggulungan bagi kementeriannya pada Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Sarawak di sini, hari ini.

Katanya lagi, para usahawan yang menerima bantuan turut akan dibimbing melalui program pembangunan usahawan pada tahun 2024 bagi mencapai hasil utama sektor khidmat sosial (PCDS 2030) iaitu mengeluarkan isi rumah berpendapatan rendah daripada kemiskinan dengan menjana purata pendapatan sebulan pada RM2,150 hingga RM3,750 menjelang 2030.

Sementara itu, sebanyak 115 sesi kursus jangka pendek telah dilaksanakan bagi kursus jahitan, kulinari, kecantikan dan spa dan urut melalui program Women Skills Training (WST) bagi tempoh Februari hingga September 2023.

“Selain mengupayakan wanita Sarawak dengan pengetahuan dan kemahiran baharu, JWKS turut memantau kemajuan pendapatan peserta dan mendapati daripada 2,670 peserta yang dilatih, 1,214 peserta (45.47 peratus) telah berjaya menggunakan kemahiran baharu tersebut untuk menjana pendapatan.

“Bagi penglibatan wanita dalam kepimpinan pula, Jabatan Wanita dan Keluarga Sarawak telah melaksanakan dua siri Women Leadership Program di Sarikei dan Sri Aman melibatkan seramai 60 peserta di kalangan pemimpin NGO manakala Leadership Bootcamp For Youth telah dilaksanakan sebanyak tiga siri di Bintulu, Miri dan Kuching yang melibatkan seramai 90 pelajar perempuan sekolah menengah dan institusi pengajian tinggi,” katanya lagi.

Menurut Fatimah, JWKS turut berkolaborasi dan menyokong inisiatif pihak NGO dalam melaksanakan program-program pengupayaan kapasiti wanita dan pemantapan institusi keluarga dan telah menyalurkan RM95,140 kepada 10 NGO di Sarawak untuk pelaksanaan program-program tersebut. – TVS

TVS provides up-to-date news, captivating dramas, and diverse program which are disseminated via channel 122 MYTV, UnifiTV and ASTRO. Stream live via MYTV Mana-Mana, UnifiTV and ASTRO GO apps now.

Follow us on social media:
Facebook: @tvsarawak , @tvs122

Instagram: @tvsarawak, @TVS_Entertainment

Telegram: @tvsarawak

TikTok: @tvsarawak, @tvs_entertainment

X: @tvsarawak

YouTube: @tvsarawak, @TVSEntertainment

Berita Berkaitan