KUCHING, 28 Nov: Jabatan Veteriner Sarawak dan Immune Belt Enforcement (IBET) telah memvaksin 36,900 anjing atau 92 peratus di seluruh Sarawak sebagai usaha untuk membendung rabies di negeri ini.
Menteri Industri Makanan, Komoditi dan Pembangunan Wilayah Sarawak (MFICORD), Dato Sri Dr Stephen Rundi Utom berkata, sebanyak 40, 000 ekor anjing disasarkan divaksin menjelang hujung tahun ini.
“Berdasarkan statistik Jabatan Kesihatan Negeri, Sarawak merekodkan 15 kematian daripada 17 kes rabies pada 2023.
“Sejak 2017, 72 kes rabies manusia dan 65 kematian atau 90 peratus kematian dilaporkan manakala terdapat lebih 100 kes rabies haiwan dikesan setiap tahun,”katanya dalam ucapan penggulungan bagi kementeriannya di Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Sarawak di sini, hari ini.
Katanya, sejak kes rabies pertama kali direkodkan di Sarawak pada tahun 2017, Sarawak telah secara aktif mengambil langkah-langkah untuk memerangi penyakit rabies, adalah penting anjing mesti diberi vaksin bagi mencegah penularan rabies.
“Beberapa langkah untuk mengawal dan mencegah rabies seperti vaksinasi besar-besaran terhadap anjing, kempen pendidikan dan kesedaran, pemantauan terhadap penyakit sedang dijalankan.
Selain itu, IBET terus memantau pergerakan anjing gila, menjalankan pengawasan dan vaksinasi anjing bersama Jabatan Veterinar Sarawak (DVSS), walaupun penyakit rabies membawa maut tetapi 100 peratus boleh dicegah.
Dalam pada itu, beliau menasihati orang ramai untuk mengambil langkah berjaga-jaga dan segera mendapatkan rawatan jika digigit oleh mana-mana haiwan.
“Pemilik anjing mesti bertanggungjawab untuk memastikan haiwan peliharaan mereka divaksin dengan vaksin anti-rabies,” katanya.
Vaksinasi anjing adalah diwajibkan di bawah Seksyen 40, Ordinan Kesihatan Awam Veterinar 1999.
Pemilik yang membiarkan anjing mereka berkeliaran dengan bebas di jalanan akan didenda tidak melebihi RM2, 500 di bawah Seksyen 37, Kesihatan Awam Veterinar Ordinan 1999.-TVS