BALIK PULAU, 26 Nov: Kementerian Kerja Raya (KKR) berpuas hati apabila projek pembaikan cerun runtuh di FT006 Jalan Balik Pulau-Teluk Bahang di sini berjaya disiapkan 51 hari lebih awal.
Menterinya, Datuk Seri Alexander Nanta Linggi berkata, projek berkenaan disiapkan pada 6 November lepas berbanding dijadualkan pada 26 Disember depan.
Katanya, projek bernilai RM1.8 juta yang membabitkan dua lokasi di Seksyen 46.8 dan Seksyen 45.4 memudahkan pengguna jalan raya selepas ditutup pada 10 Julai akibat tanah runtuh.
“Kita (berjaya) buat dengan segera dan projek ini penting kerana memberi implikasi aktiviti ekonomi di sini membabitkan keperluan penduduk setempat dan pelancong.
“Kerja-kerja pembaikian cerun ini menggunakan kaedah ‘Tie Back Wall’, manakala pembinaan saliran menggunakan jenis ‘Cascade and Toe Drain’,” katanya kepada pemberita selepas melakukan tinjauan di lokasi projek tersebut di sini hari ini.
Turut hadir, Ketua Pengarah Kerja Raya, Datuk Ahmad Redza Ghulam Rasool.
Sementara itu, beliau berkata KKR bersetuju untuk menyalurkan dana menerusi peruntukan 2024 bagi langkah pencegahan di beberapa lokasi berisiko tanah runtuh di laluan berkenaan.
Jalan yang menghubungkan Balik Pulau dan Teluk Bahang tersebut sebelum ini ditutup sejauh tiga kilometer (km) selepas berlaku tanah runtuh ekoran hujan lebat berterusan.
Ia merupakan laluan penting berikutan terdapat banyak ladang durian yang menjadi tarikan pelancongan di negeri ini. – TVS