SARIKEI, 26 Nov: Kerajaan komited dalam mempergiat serta memajukan sektor pertanian dan pelancongan sebagai pemangkin kepada pembangunan ekonomi Sarawak.
Tidak lupa juga, pelbagai langkah agresif dilaksanakan bagi meningkatkan kesejahteraan rakyat, khususnya membabitkan peningkatan kos sara hidup yang begitu dirasai ketika ini.
Ahli Parlimen Tanjung Manis, Ir Yusuf Abd Wahab berkata, antara yang dilaksanakan termasuklah melalui karnival dan jualan di tapak pesta bertujuan menyemarakkan ekonomi penduduk khususnya penjaja kecil.
“Penganjuran Pesta Nanas dan Buah-Buahan Sarikei misalnya, merupakan landasan terbaik dan berkesan untuk menarik masyarakat dari luar untuk datang ke Sarikei.
“Kunjungan masyarakat luar amat penting terutamanya dalam menggerakkan industri berasaskan ekopelancongan, keusahawanan, aktiviti perniagaan dan banyak lagi impak positif lain,” katanya ketika menyempurnakan Majlis Perasmian Pesta Nanas 2023 di sini, malam tadi.
Beliau berkata, dalam usaha memastikan pesta itu berada pada landasan yang tepat dan memberikan manfaat kepada segenap lapisan masyarakat, pelbagai usaha penambahbaikan dan pendekatan terbaharu wajar diketengahkan.
Justeru katanya, bagi memastikannya mampu direalisasikan dengan jayanya selaras matlamat utama penganjurannya, kerjasama dan komitmen daripada semua pihak amat diperlukan.
“Sumbangan pendapat, buah fikiran, cadangan dan usul daripada semua pihak amat diperlukan agar pesta ini akan mampu menampakkan pembaharuan dari semua sudut.
“Justeru, saya berharap penganjuran pesta tahun ini akan lebih meriah dan bermakna berbanding tahun-tahun lepas,” katanya. – TVS