KUCHING, 26 Nov: Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat (KPWKM) akan berbincang dengan Kerajaan Sarawak untuk membina sebuah makmal subfertiliti di Lembaga Penduduk dan Pembangunan Keluarga Negara (LPPKN) di bandar raya ini.
Menterinya, Datuk Seri Nancy Shukri berkata, ini berikutan makmal sedia ada di Hospital Umum Sarawak (HUS) tidak mencukupi untuk memberi perkhidmatan kepada penduduk.
Sehubungan itu, Nancy berkata, KPWKM mahu sebuah lagi makmal berkenaan dibangunkan khas untuk rakyat Sarawak.
“Jadi saya perlu berbincang dengan Kerajaan Sarawak terlebih dahulu untuk mendapat persetujuan dan mungkin kalau kerajaan negeri hendak menyumbang sedikit (kos ke arah pembinaan makmal).
“Bagi kos lain, kementerian akan tanggung,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas merasmikan Sambutan Bulan Keluarga Kebangsaan 2023 Peringkat Sarawak di Masjid Darul Hana di sini hari ini.
Yang turut hadir, Timbalan Menteri Utiliti dan Telekomunikasi Sarawak, Datuk Dr Abdul Rahman Junaidi.
Pusat tersebut bakal menyediakan khidmat rawatan kesuburan dan kesejahteraan keluarga yang komprehensif termasuk berfungsi sebagai pusat koordinasi penyelidikan, teknologi rawatan terkini dan latihan kepakaran.
Sementara itu, Nancy memaklumkan, bangunan LPPKN baharu di Wisma Sego kini dalam proses pengubahsuaian.
” (Cuma) kita belum ada makmal (dan) saya akan bincang untuk jadikan makmal sebagai salah satu komponen dalam bangunan itu kerana ia melibatkan kos yang banyak,” tambahnya.
Terdahulu ketika berucap, Nancy berkata, LPPKN akan terus berusaha untuk mengukuhkan institusi keluarga menerusi pelbagai program pembangunan.
“Institusi keluarga merupakan sebuah unit asas sosial yang membekalkan sumber manusia untuk pembangunan negara serta menjamin kesinambungan insan sebagai generasi akan datang,” katanya. -TVS