GEORGE TOWN, 26 Nov: Polis menyita 50 buah motosikal yang disyaki terbabit kegiatan lumba haram pada operasi di Jalan Tun Dr Lim Chong Eu berdekatan Seagate di sini, awal pagi tadi.
Ketua Polis Daerah Barat Daya, Superintendan Kamarul Rizal Jenal berkata, operasi membabitkan pasukan Bahagian Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik, Ibu Pejabat Polis Daerah Barat Daya dan Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) itu diadakan kira-kira tiga jam bermula 2 pagi.
Ujarnya, operasi berkenaan dibuat dalam usaha membendung kegiatan samseng jalanan yang kerap berlaku di kawasan itu dan memastikan penunggang mematuhi peraturan jalan raya.
“Selain 50 motosikal disita mengikut Seksyen 64(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987, sebanyak 144 keping saman turut dikeluarkan atas pelbagai kesalahan.
“Sebuah motosikal disiasat mengkut Seksyen 108 akta sama kerana memalsukan nombor pendaftaran,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Ujar beliau, pihaknya akan terus melakukan operasi berkenaan khususnya di kawasan tersebut yang sering menjadi tumpuan pelesit rempit pada hujung minggu bagi mencegah kegiatan itu yang mengganggu ketenteraman awam.
Operasi berkenaan membabitkan 20 anggota dan pegawai polis serta 15 anggota JPJ. – TVS