MELAKA, 26 Nov: Kanak-kanak lelaki berusia dua tahun yang dilaporkan hilang sejak semalam selepas dipercayai terjatuh ke dalam longkang di Taman Goodwood, Bukit Baru di sini, ditemukan lemas pada 9.30 pagi ini.
Mayat Muhammad Danish Mohd Faizal itu ditemukan di Taman Desa Baru dalam keadaan terapung kira-kira 1.3 kilometer dari lokasi asal oleh seorang lelaki yang memaklumkan perkara itu kepada Pasukan Penyelamat di Air (PPDA) Balai Bomba dan Penyelamat (BPP) Melaka.
Pegawai Zon 1 Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Melaka Penguasa Bomba Zulkhairani Ramli berkata, mangsa ditemukan dalam longkang selebar 4.6 meter (15 kaki) pada kedalaman hampir dua meter selepas pencarian dilakukan hampir 18 jam sejak petang semalam.
“Orang awam ada bagi maklumat kepada kami ada satu objek timbul di kawasan Taman Desa Baru, jadi kami hantar anggota ke lokasi dan membuat pemeriksaan dan mendapati objek tersebut adalah mayat kanak-kanak tersebut dan dalam keadaan sempurna.
“Kita keluarkan dan angkat ke kawasan lebih sesuai untuk melakukan identifikasi dan masa yang sama kita hubungi hospital dan polis. Selepas itu, mayat dihantar ke Hospital Melaka untuk bedah siasat,” katanya kepada pemberita ketika ditemui di lokasi kejadian.
Semalam Bernama melaporkan kanak-kanak tersebut disedari hilang kira-kira 3.30 petang sewaktu ibu bapanya sedang berniaga nasi kerabu di Taman Goodwood dan mangsa ketika itu sedang bermain dengan abangnya berdekatan longkang yang dipenuhi air berikutan hujan lebat sejak tengah hari.
Ketika kejadian, hanya selipar mangsa sahaja kelihatan di kawasan berumput berdekatan dan keluarganya memaklumkan perkara itu kepada pihak berkuasa setelah mencarinya selama 20 minit. -TVS