KUCHING, 26 Nov: Kerajaan Sarawak memperuntukkan sejumlah RM105 juta bagi melaksanakan 17 projek perumahan mampu milik pada tahun hadapan.
Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg berkata, ia adalah komitmen kerajaan negeri dalam membanteras kemiskinan dan kesejahteraan rakyat.
“Menerusi Belanjawan 2024, kita ada 12 teras strategik di mana teras ke-11 adalah untuk membanteras kemiskinan dan kesejahteraan rakyat,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap di Majlis Makan Malam SHEDA kali ke-30 di Pusat Konvesnyen Borneo Kuching( BCCK) di sini, malam tadi.
Katanya, selain pelaksanaan rumah mampu milik, kerajaan juga telah menyediakan kemudahan pinjaman bagi membantu rakyat khususnya kepada golongan B40 dan M40.
“Bagi tujuan tersebut, sejumlah RM122 juta telah diperuntukan kepada Mutiara Mortgage and Credit Sdn Bhd bagi memudahkan pembiayaan pinjaman perumahan.
“Bagi menangani masalah yang membelenggu golongan B40 dan M40 sejumlah RM84 juta telah diluluskan pada Ogos 2023,” ujarnya.
Terdahulu dalam pembentangan Belanjawan 2024, di Dewan Undangan Negeri Sarawak pada Isnin projek pelaksanaan perumahan mampu milik secara keseluruhan melibatkan 1481 unit rumah.
Projek tersebut akan dilaksanakan di Kuching, Limbang, Miri, Betong, Mukah dan Sarikei dengan mengguna pakai kaedah Industrial Building System (IBS) bagi mempercepatkan pembinaan. -TVS