KUCHING, 25 Nov: Orang ramai kini boleh menyalurkan maklumat dan aduan mengenai salah laku penjawat awam kepada Unit Integriti dan Ombudsman Sarawak.
Pengarah Unit Integriti dan Ombudsman Sarawak, Semawi Mohamad berkata undang-undang Ombudsman yang diluluskan Dewan Undangan Negeri pada minggu lepas bertujuan mengekang penyalahgunaan kuasa, penyelewengan dan perkara yang tidak memenuhi peraturan.
“Dengan adanya undang-undang Ombudsman ini iaitu undang-undang Ombudsman yang pertama di Malaysia, ia akan mengukuhkan lagi sistem pentadbiran di Sarawak.
“Ia akan memberikan kepercayaan kepada pelabur-pelabur yang akan datang ke Sarawak kerana pelabur sudah pasti mahu dana dilaburkannya dikendalikan seseorang yang berintegeriti,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Penutupan Program Motivasi Ibu Bapa dan Anak Penjawat Awam MAKSAK Sarawak, Pecutan Akhir SPM 2023 di sini, hari ini.
Menurutnya lagi, penubuhan unit tersebut sejak lima tahun lalu adalah bertujuan bagi menyebar dan menanamkan integriti di semua peringkat.
Ia bukan sahaja terhad dalam kalangan kakitangan awam di peringkat negeri dan persekutuan tetapi juga kepada pelbagai golongan lain meliputi golongan belia, pelajar sekolah, pelajar universiti dan Ketua Masyarakat dan Kaum (KMKK). – TVS