Search
Close this search box.
Search
Close this search box.
Gambar hiasan: Faitullah Morni (TVS)

Pemain pasaran perlu main peranan untuk menstabilkan ringgit – BNM

ByBernama

KUALA LUMPUR, 25 Nov: Pemain dan peserta pasaran perlu mengelak daripada menyumbang kepada tekanan menurun ke atas ringgit dan sebaliknya kekal tenang serta memainkan peranan sebagai penstabil dalam mengatasi situasi semasa yang sangat dinamik, kata Timbalan Gabenor Bank Negara Malaysia (BNM) Adnan Zaylani.

Katanya, bank pusat memerhati dengan teliti sentimen pasaran serta awam kerana ia menyedari bagaimana sentimen turut memacu sebut harga dan nilai pasangan ringgit/dolar US termasuk aliran pasaran dan tingkah laku orang ramai.

“Mungkin kita (pemain pasaran) harus mempertimbangkan kepentingan yang lebih besar, melebihi keuntungan kita sendiri atau pulangan yang lebih tinggi.

“Kita lihat terdapat banyak rasa tidak puas hati terhadap kelemahan ringgit dan secara amnya, ramai di antara kita memilih ringgit yang lebih kukuh. Namun tindakan kita adalah sebaliknya. Kita harus mengubah ini,” kata Adnan dalam ucaptama pada Majlis Makan Malam Tahunan Persatuan Pasaran Kewangan Malaysia 2023 pada Jumaat.

Pergerakan kadar pertukaran ringgit sejak kebelakangan ini tidak mencerminkan asas ekonomi Malaysia yang sebenar, oleh itu, pemain pasaran perlu bersedia untuk memainkan peranan mereka.

“Kita semua perlu menyedari bahawa tindakan individu juga boleh menyumbang kepada tekanan menurun jangka pendek ke atas ringgit.

“Permintaan oleh korporat serta pelabur untuk melabur di luar negara, pengeksport yang menahan penukaran mata wang, pengimport yang membeli mata wang asing dan melindung nilai jauh sebelum diperlukan. Individu, perniagaan, membuka akaun mata wang asing atau menukar simpanan ringgit mereka bagi kadar faedah mata wang asing yang lebih tinggi.

“Tidak dinafikan, secara kolektif, ini menambah lagi tekanan kepada ringgit,” katanya.

Beliau berkata peserta pasaran harus mengelak daripada menyumbang kepada tekanan menurun ke atas ringgit, apatah lagi menjejaskan fungsi teratur pasaran.

“Sehubungan itu, pemain pasaran harus menasihati pelanggan mereka untuk menguruskan pendedahan pertukaran asing mereka dengan sewajarnya. Ini bagi memastikan aktiviti pasaran kewangan kita mengembangkan lagi risiko kepada ekonomi,” katanya lagi.

“Pada masa ini, Malaysia tidak mengalami sebarang krisis mahupun tekanan kewangan atau ekonomi, bank pusat itu tetap berwaspada,” katanya.

Adnan berkata, terdapat keperluan untuk bersiap sedia kerana jangkaan perubahan dalam pendirian bagi mengetatkan lagi monetari global, khususnya di Amerika Syarikat, ia bagaimanapun bukanlah penyelesaian yang muktamad memandangkan kehadiran berterusan risiko inflasi.

“Dengan ini, kita perlu bersedia. BNM sudah tentu memantau gelagat serta aliran pasaran termasuk akan bertindak sewajarnya. Pada asasnya, jika perlu, kita akan memasuki pasaran untuk memastikan kecairan dan membendung sebarang turun naik yang tidak wajar.

“Pemantauan kita telah meluas, kini meliputi bukan sahaja pasaran kewangan tetapi juga menjejaki aliran korporat; eksport, import dan pembayaran balik pinjaman, trend dalam kalangan orang ramai yang melabur termasuk ketersediaan penawaran mata wang asing yang semakin meningkat,” katanya lagi.

“Saya pasti kita semua melihat ke hadapan atau mengharapkan perkembangan yang lebih baik dalam pasaran kewangan ke arah 2024. Kemungkinan kita mungkin melihat kemuncak kenaikan kadar faedah AS kerana Fed telah menahan sebanyak dua kali berturut-turut mesyuarat dan beberapa data ekonomi AS baru-baru ini juga menunjukkan ekonomi yang perlahan termasuk tekanan inflasi yang berkurangan.

Adnan menjelaskan bahawa jangkaan pertukaran asing baru-baru ini oleh penganalisis, mencerminkan Rizab Persekutuan mungkin hampir pada penghujung kitaran kenaikan kadarnya, oleh itu, beberapa peserta pasaran menjangkakan ringgit akan mengukuh, mencapai antara paras 4.55 hingga 4.61 menjelang akhir tahun dan seterusnya pengukuhan menjelang 2024.

“Kita semua boleh memainkan peranan dalam membawa diri kita ke arah itu” katanya.

“Dalam kita melangkah memasuki tahun baharu, saya berharap kita terus mengemudi pasaran kewangan dengan lebih kesedaran tentang impak kita dan menyedari bahawa tindakan kolektif kita boleh membentuk landskap kewangan yang lebih berdaya tahan serta saksama,” katanya.

Walaupun menghadapi pelbagai cabaran pada 2023, Malaysia terus dilihat memiliki daya tahan dalam pasaran kewangan, dengan pasaran pertukaran asing merekodkan volum pusing ganti harian yang kukuh sebanyak US$15.4 bilion sehari.

“Turun naik ringgit kekal terendah dalam kalangan rakan serantau. Sememangnya, dua tahun dalam kitaran semasa kekuatan dolar US ini, pasaran, institusi kewangan dan sektor kewangan kita, ekonomi semuanya telah mengharungi cabaran ini dengan baik.

“Kita pastinya tidak mengalami sebarang krisis mahupun tekanan kewangan atau ekonomi. Walaupun begitu, bank pusat tetap berwaspada,” katanya.

Beliau juga menekankan bahawa menggunakan ringgit sebagai barometer pembangunan ekonomi negara adalah penunjuk yang mengelirukan, melihat kepada pertumbuhan ekonomi dan kedudukan fiskal Malaysia yang berterusan

Malaysia juga terus menyaksikan pasaran wang antara bank sebanyak RM8.77 bilion, manakala tunggakan saiz pasaran bon kini melebihi RM2 trilion dengan pasaran bon kerajaan pada RM1.1 trilion, bukti bagaimana pasaran kewangan telah dapat menyerap dan menangani pembiayaan jangka panjang untuk sektor kerajaan dan korporat. – TVS

TVS provides up-to-date news, captivating dramas, and diverse program which are disseminated via channel 122 MYTV, UnifiTV and ASTRO. Stream live via MYTV Mana-Mana, UnifiTV and ASTRO GO apps now.

Follow us on social media:
Facebook: @tvsarawak , @tvs122

Instagram: @tvsarawak, @TVS_Entertainment

Telegram: @tvsarawak

TikTok: @tvsarawak, @tvs_entertainment

X: @tvsarawak

YouTube: @tvsarawak, @TVSEntertainment

Berita Berkaitan