SEBUYAU, 25 Nov: Pekebun kecil kelapa sawit di seluruh negara disaran supaya mendaftar dengan Lembaga Minyak Sawit Malaysia (MPOB).
Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Fadillah Yusof yang juga Menteri Perladangan dan Komoditi berkata langkah ini adalah untuk membolehkan mereka menerima bantuan dan sokongan disediakan kerajaan.
Menurutnya, hampir 95 peratus pekebun kecil di seluruh negara telah memiliki Pensijilan Minyak Sawit Mampan Malaysia (MSPO).
“Apa yang diusahakan MPOB pada masa ini adalah untuk memastikan anda semua (pekebun kecil) akan melaksanakan Amalan Pertanian Baik (GAP) dan seterusnya dapat memenuhi kehendak atau kepatuhan kepada MSPO.
“Perkara ini perlu disebabkan sekarang ini pihak kilang tidak boleh lagi mengambil produk tanpa pensijilan MSPO kerana seluruh dunia kini hanya mahu produk yang mampan,” katanya berucap merasmikan Pusat Timbang Koperasi Penanam Sawit Mampan (KPSM) Daerah Asajaya Berhad di Kampung Seruyuk di sini, hari ini.
Sementara itu, Fadillah berkata, pada 2024, kementeriannya juga melaksanakan program yang memberi peruntukan insentif tanam semula kepada pekebun kecil bagi menggalakkan penanaman semula pokok sawit tua yang melepasi 25 tahun.
“Ada dua kaedah, satu melalui geran tanaman semula yang boleh didapatkan di pejabat MPOB dan satu lagi melalui pinjaman mudah.
“Kaedah pinjaman mudah ini pula akan dibiayai oleh Agrobank dan mereka hanya perlu membayar balik setelah tempoh lima tahun selepas penanaman,” katanya. – TVS