Search
Close this search box.
Search
Close this search box.
Datuk Abdullah Saidol menyampaikan sumbangan dana kepada Persatuan Bekas Polis Malaysia, Bahagian Sarawak, Cawangan Petra Jaya diwakili Abang Narawi Abang Haris. Foto: Saibi Gi (TVS)

Ombudsman: Memastikan pengurusan jentera kerajaan berintegriti

KUCHING, 25 Nov: Undang-undang Ombudsman yang diluluskan baru-baru ini bukan sekadar mengukuhkan elemen integriti dalam pentadbiran kerajaan, ia juga memastikan tiada ketirisan dalam pengurusan dana pembangunan negeri.

Timbalan Menteri di Jabatan Premier (Hal Ehwal Korporat, Penerangan dan UKAS) Datuk Abdullah Saidol berkata Belanjawan Sarawak 2024 yang memperuntukkan RM12.363 bilion wajar diurus dengan penuh integriti.

Datuk Abdullah Saidol bersama ahli-ahli Persatuan Bekas Polis Malaysia, Bahagian Sarawak, Cawangan Petra Jaya di Kuching, hari ini. Foto: Saibi Gi (TVS)

Belanjawan yang dibentang Premier Sarawak Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg pada persidangan Dewan Undangan Negeri, Isnin lepas, memperuntukkan RM7.8 bilion bagi tujuan pembangunan.

“Undang-undang Ombudsman ini menuntut amalan berintegriti dalam kalangan penjawat awam. Kita alu-alukan kelulusan Rang Undang-undang Ombudsman dan kita merupakan negeri pertama di Malaysia yang ada undang-undang sedemikian,” katanya.

Beliau berkata demikian pada Majlis Perasmian Mesyuarat Agung Tahunan Persatuan Bekas Polis Malaysia, Bahagian Sarawak, Cawangan Petra Jaya di sini, hari ini.

Abdullah berkata lagi, wakil rakyat juga tidak terkecuali dalam penguatkuasaan Ombudsman walaupun kedudukan wakil rakyat tidak disebut secara langsung dalam bidang kuasa Ombudsman.

“Tetapi jika hasil siasatan Ombudsman mendapati ada penglibatan secara langsung atau tidak mana-mana wakil rakyat, saya yakin pihak Ombudsman bertanggungjawab untuk melaporkan perkara tersebut kepada pihak mempunyai bidang kuasa untuk meneruskan siasatan seperti agensi SPRM,” ujarnya.

Beliau menegaskan, ini adalah untuk memastikan semua aspek tadbir urus melibatkan dana awam dipatuhi dan diurus dengan amalan yang berintegriti.

Sementara itu, beliau menyeru ahli-ahli persatuan berkenaan memanfaatkan kemudahan bantuan yang disediakan kerajaan, contohnya Kenyalang Gold Card (KGC).

KGC menyediakan kemudahan dalam bentuk diskaun, rebat dan lain-lain kemudahan yang disediakan rakan strategik kalangan pelbagai organisasi dan sektor komersial kepada golongan warga emas yang memiliki kad berkenaan.

Abdullah turut mengambil kesempatan mengucapkan perhargaan dan terima kasih kepada semua pesara polis yang hadir kerana atas pengorbanan dan khidmat bakti mereka, generasi sekarang mewarisi sebuah negara dan wilayah Sarawak yang merdeka serta bebas dari ancaman komunis.

Pada majlis yang dihadiri ketua cawangan persatuan berkenaan, Abang Narawi Abang Haris, Abdullah turut menyampaikan sumbangan dana kepada persatuan berkenaan bagi membiayai pelbagai aktiviti. – TVS

TVS provides up-to-date news, captivating dramas, and diverse program which are disseminated via channel 122 MYTV, UnifiTV and ASTRO. Stream live via MYTV Mana-Mana, UnifiTV and ASTRO GO apps now.

Follow us on social media:
Facebook: @tvsarawak , @tvs122

Instagram: @tvsarawak, @TVS_Entertainment

Telegram: @tvsarawak

TikTok: @tvsarawak, @tvs_entertainment

X: @tvsarawak

YouTube: @tvsarawak, @TVSEntertainment


Berita Berkaitan