KUCHING, 25 Nov: Seramai 100 peserta menyertai Program ‘Green Day Eco Run 2023’ iaitu jogging sambil mengutip sampah sejauh tiga kilometer dari Kampung Trombol ke Pantai Trombol di sini, hari ini.
Pengerusi Majlis Perbandaran Padawan (MPP) Kaunselor Tan Kai berkata, program ini bertujuan menyemai semangat cintakan alam sekitar dengan menjaga kebersihan di samping memupuk amalan gaya hidup sihat.
“Program ‘Green Day Eco Run 2023’ ini bertujuan meningkatkan kesedaran awam terutamanya penduduk kampung berdekatan dan orang awam mengenai kepentingan penjagaan alam sekitar serta amalan mengitar semula,” katanya berucap pada program itu.
Jelasnya, program ini dijalankan selaras dengan Matlamat Pembangunan Mampan (SDG) oleh Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) yang amat dititikberatkan Kerajaan Sarawak.
Timbalan Menteri Utiliti dan Telekomunikasi Sarawak Datuk Dr Abdul Rahman Junaidi berkata program seperti ini amat digalakkan kerana ia mampu mengeratkan silaturahim dalam kalangan masyarakat sekali gus menikmati keindahan alam semula jadi.
“Tidak banyak tempat seperti Kampung Trombol yang dikelilingi alam semula jadi di Malaysia yang berpotensi tinggi menjadi destinasi pelancongan,” ujarnya.
‘Green Day Eco Run’ 2023 merupakan program kerjasama MPP bersama JKKK Kampung Trombol, Politeknik Kuching, UNIMAS, Jabatan Alam Sekitar, NREB, PDRM, Klinik Kesihatan Telaga Air dan Trombol Beach Resort.
Selain jogging mengutip sampah, antara pengisian lain program ini adalah seperti senamrobik, pameran inovasi serta alam sekitar oleh Jabatan Alam Sekitar, NREB, UNIMAS dan Politeknik Kuching. – TVS