Search
Close this search box.
Search
Close this search box.
Dekan FSTS, UNIMAS, Professor Madya Dr Samsur Mohammad pada sesi bergambar bersama pelajar UNIMAS yang memperoleh kemenangan pada Malaysia Techlympics 2023. Foto: TVS

UNIMAS rangkul emas pada Malaysia Techlympics 2023

KUCHING, 24 Nov: Fakulti Sains dan Teknologi Sumber (FSTS) Universiti Malaysia Sarawak (UNIMAS) memperoleh pingat emas pada acara Malaysia Techlympics 2023 bagi kategori sidang inovasi belia.

Pertandingan pada 19 dan 20 November lalu diadakan di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC).

Melalui program tersebut, terdapat pelbagai pertandingan berteraskan teknologi sohor seperti kecerdasan buatan, internet kebendaan, dron, pengekodan dan robotik dipertandingan di peringkat negeri zon dan kebangsaan yang melibatkan penyertaan pelajar dan belia berusia tujuh hingga 30 tahun.

Dekan Fakulti Sains dan Teknologi Sumber (FSTS), Universiti Malaysia Sarawak (UNIMAS), Professor Madya Dr Samsur Mohammad berkata, penyertaan pelajar buat julung kalinya pada program ini secara tidak langsung membuka ruang kepada para pelajar untuk menggunakan kemahiran mereka untuk menginovasikan sesuatu produk di samping mengharumkan nama baik UNIMAS.

“Pelajar kita diberi pendedahan awal bermula daripada peringkat fakulti iaitu pertandingan kecil yang dianjurkan pada Hari Terbuka Fakulti. Tahun depan kita akan menyertai program ini lagi dengan menambah baik segala kekurangan yang hadapi pada program tahun ini.

“Kita (UNIMAS) telah menghantar dalam tujuh kumpulan bagi tiga kategori belia. Secara keseluruhan, kita telah memenangi satu pingat emas bagi kategori sidang inovasi belia, satu pingat perak dan gangsa bagi cabaran bioteknologi (jaminan makanan),” katanya ketika ditemui TVS di FSTS, UNIMAS, Kota Samarahan, pada Khamis.

Menurut pemenang pingat emas itu, Ignatia Catalena Stainly mengakui pertandingan berkenaan menguji kemahiran pasukannya dalam menghasilkan inovasi sains terhadap produk yang boleh memberi impak kepada kelestarian alam.

“Kumpulan saya ada membuat inovasi kertas dari soda atau secara asasnya dari cendawan menggunakan kaedah yang mementingkan kelestarian alam. Kebanyakan saingan dari universiti lain pada pertandingan kali ini agak sengit kerana mereka juga mempunyai inovasi yang menarik. Saya juga tidak sangka kumpulan saya akan memenangi pingat emas ini,” katanya.

Sementara itu, Dr Lee Kui Soon, seorang jurulatih meyakini dengan bimbingan yang mantap, pelajar UNIMAS mampu mencapai kejayaan ke tahap yang lebih tinggi lagi.

“Saya memang yakin mereka boleh sampai ke peringkat akhir dan memperolehi pingat dengan semangat dan kemahiran yang mereka miliki. Tahun depan kita akan menambah baik produk inovasi kita ini agar dapat membawa pelajar UNIMAS ke peringkat yang lebih tinggi lagi kerana kita tahu isu keterjaminan makanan adalah isu yang besar,” ujarnya.

Selain merangkul pingat emas, UNIMAS juga berjaya memperolehi pingat perak dan gangsa bagi kategori cabaran biokteknologi (jaminan makanan).

Dengan penyertaan lebih 1.8 juta di seluruh Malaysia, Malaysia Techlympics 2023 merupakan satu program inisiatif Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI) dalam usaha memperkasakan sains, teknologi dan inovasi serta memupuk minat generasi muda terhadap pendidikan Sains, Teknologi, Kejuruteraan dan Matematik (STEM) melalui pendekatan yang lebih menyeronokkan. – TVS

 

TVS provides up-to-date news, captivating dramas, and diverse program which are disseminated via channel 122 MYTV, UnifiTV and ASTRO. Stream live via MYTV Mana-Mana, UnifiTV and ASTRO GO apps now.

Follow us on social media:
Facebook: @tvsarawak , @tvs122

Instagram: @tvsarawak, @TVS_Entertainment

Telegram: @tvsarawak

TikTok: @tvsarawak, @tvs_entertainment

X: @tvsarawak

YouTube: @tvsarawak, @TVSEntertainment

Berita Berkaitan