KUCHING, 24 Nov: Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg optimis sistem perkhidmatan yang letari dan efektif yang diamalkan kerajaan negeri akan meyakinkan para pelabur terhadap kewangan Sarawak.
Menurut beliau, berikutan itu Rang Undang-Undang (RUU) Ombudsman yang dikhususkan kepada rakyat Sarawak akan mengawasi  prestasi agensi perkhidmatan awam negeri, pihak berkuasa tempatan, badan berkanun dan syarikat berkaitan kerajaan.
Justeru itu, Abang Johari menegaskan pelabur turut memerlukan keyakinan yang tinggi terhadap sistem yang diterajui oleh sesebuah kerajaan untuk mereka melakukan pelaburan yang tinggi.
“Orang nak melabur dia mahu tahu juga kerana dia menempatkan pelaburannya di Sarawak sama ada pelaburan itu dapat dikendalikan dengan baik atau tidak.
“Dan kalau kita mempunyai sistem yang lestari dan efektif orang percaya dengan kita dan mereka boleh menempatkan pelaburan mereka dari sudut kewangan yang besar kepada kita,” katanya pada Majlis Hari Intergriti SEDC di Kuching pada Jumaat.
Beliau dalam pada itu menyatakan sektor pelaburan yang tinggi merupakan kunci kepada keyakinan orang luar untuk datang ke negeri ini.
“Melalui pelaburan tersebut, ekonomi kita akan berjalan dengan baik dan negara akan mempunyai kewangan yang kukuh.
“Orang akan melabur dan ekonomi kita akan mampan dan kita dapat mewujudkan pekerjaan.
“Dan ekonomi kita akan berjalan dan negara akan mempunyai kewangan fizikal yang kukuh,” jelasnya. -TVS