Search
Close this search box.
Search
Close this search box.
Pesuruhjaya Polis Sarawak, Dato Mancha Ata pada sidang media di Ibu Pejabat Polis (IPK) Kontinjen Sarawak hari ini. Foto: TVS

Pembantu pengurusan murid dan guru direman susulan laporan cabul pelajar

KUCHING, 24 Nov: Seorang pembantu pengurusan murid direman susulan dakwaan mencabul 15 orang pelajar pendidikan khas manakala kes kedua seorang guru penyelaras pengawas ditahan susulan dakwaan mencabul tiga orang pelajar di Serian.

Pesuruhjaya Polis Sarawak, Dato Mancha Ata berkata, bagi kes amang seksual melibatkan pembantu pengurusan murid, suspek telah ditangkap pada 17 November 2023 dan masih dalam tahanan reman sehingga 24 November 2023 (Jumaat) susulan dakwaan mencabul 15 orang pelajar pendidikan khas iaitu kanak-kanak Orang Kurang Upaya (OKU) berusia 10 hingga 14 tahun.

Katanya, 12 laporan polis telah diterima daripada penjaga dan guru antara 16 hingga 22 November 2023.

“Kesemua mangsa adalah kanak-kanak dalam lingkungan usia 10 hingga 14 tahun dan merupakan pelajar pendidikan khas iaitu kanak-kanak OKU seperti OKU masalah pembelajaran, OKU fizikal dan OKU autisme.

“Kes disiasat di bawah Seksyen 14(a) Akta Kesalahan-Kesalahan Seksual terhadap Kanak-Kanak 2017 (Akta 792) kerana melakukan amang seksual fizikal terhadap kanak-kanak. Jika sabit kesalahan, boleh dihukum penjara tidak melebihi 20 tahun dan sebat,” katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis (IPK) Kontinjen Sarawak hari ini.

Manakala, kes kedua seorang guru penyelaras pengawas ditangkap pada 23 November 2023 dan permohonan reman akan dipohon pada hari ini susulan dakwaan mencabul tiga mangsa iaitu pelajar berusia 14 hingga 15 tahun.

“Tiga laporan polis telah diterima daripada tiga mangsa berusia antara 14 dan 15 tahun pada 22 November 2023 yang mendakwa mereka telah dicabul oleh seorang guru yang juga merupakan guru penyelaras pengawas di sekolah tersebut.

“Kes disiasat di bawah Seksyen 14(a) Akta Kesalahan-Kesalahan Seksual terhadap Kanak-Kanak 2017 (Akta 792) dan Seksyen 14(c) akta sama kerana melakukan amang seksual fizikal terhadap kanak-kanak, jika sabit kesalahan, boleh dihukum penjara tidak melebihi 20 tahun dan sebat,” tambahnya.

Jelasnya lagi, kedua-dua kes melibatkan si pelaku adalah seorang guru yang mempunyai hubungan amanah dengan mangsa seperti mana peruntukan di bawah Seksyen 16 akta sama memperuntukkan hukuman tambahan penjara tidak melebihi lima tahun dan tidak kurang dua sebatan.

Sehubungan itu, pihak polis menasihatkan orang ramai supaya lebih peka dan prihatin dengan kes-kes kesalahan seksual terhadap kanak-kanak kerana kejadian ini boleh memudaratkan kesihatan emosi dan mental yang berpanjangan kepada kanak-kanak sekiranya tidak dibendung lebih awal. – TVS

Berita Berkaitan

No data was found

TVS provides up-to-date news, captivating dramas, and diverse program which are disseminated via channel 122 MYTV, UnifiTV and ASTRO. Stream live via MYTV Mana-Mana, UnifiTV and ASTRO GO apps now.

Follow us on social media:
Facebook: @tvsarawak , @tvs122

Instagram: @tvsarawak, @TVS_Entertainment

Telegram: @tvsarawak

TikTok: @tvsarawak, @tvs_entertainment

X: @tvsarawak

YouTube: @tvsarawak, @TVSEntertainment

Berita Berkaitan

No data was found