Search
Close this search box.
Search
Close this search box.
Kerajaan Perpaduan pimpinan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim telah merencanakan pelbagai inisiatif dan strategi untuk dijadikan asas yang kukuh dalam usaha meningkatkan semula taraf ekonomi negara dan rakyat.

Kerajaan Perpaduan bina asas kukuh tingkat semula taraf ekonomi

ByBernama

KUALA LUMPUR, 24 Nov: Meskipun baru setahun, Kerajaan Perpaduan pimpinan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim telah merencanakan pelbagai inisiatif dan strategi untuk dijadikan asas yang kukuh dalam usaha meningkatkan semula taraf ekonomi negara dan rakyat.

Anwar yang juga Menteri Kewangan bersama barisan menteri kabinetnya berjaya menjana pelbagai strategi untuk meningkatkan taraf hidup rakyat dan memastikan hasil negara dinikmati sama rata oleh setiap golongan rakyat walaupun berdepan pelbagai cabaran dan ketidaktentuan ekonomi domestik dan antarabangsa.

Dalam ucapan sulungnya sebagai Perdana Menteri setahun lepas, Anwar berikrar menyelesaikan masalah membelenggu rakyat termasuk kenaikan kos hidup, selain menekankan tata kelola baik dalam pentadbirannya dengan melawan kemerosotan nilai dan kebejatan rasuah.

Hasilnya, Anwar bersama barisan Kabinet Kerajaan Perpaduan telah membuat kemajuan ketara dalam mendepani pelbagai cabaran dalam negara serta di peringkat global untuk membawa Malaysia kembali ke landasan menuju sebuah negara maju.

Ikrar tersebut juga bukan sekadar cakap-cakap kosong, apabila Kerajaan Perpaduan di bawah pimpinan Perdana Menteri berjaya menarik kira-kira RM333.69 bilion potensi pelaburan dan RM11.56 bilion potensi eksport ke dalam negara secara keseluruhan semenjak mengambil alih Putrajaya sehingga kini.

Pelaburan-pelaburan daripada beberapa negara besar seperti Amerika Syarikat (AS), China, Jepun, Korea Selatan, Emiriah Arab Bersatu (UAE) dan Singapura itu jelas membuktikan keyakinan pelabur luar terhadap kepimpinan, kestabilan politik dan pelan jangka panjang yang telah direncana oleh pucuk pimpinan negara.

 

Peningkatan dan Penambahbaikan di bawah Kerajaan Perpaduan

Pengarah Program MBA, Putra Business School Prof Madya Dr Ahmed Razman berkata dari sudut ekonomi, terdapat beberapa indikator makro yang menunjukkan beberapa peningkatan dan penambahbaikan.

“Terutamanya kalau kita rujuk pada pertumbuhan keluaran dalam negara kasar (KDNK), negara kita masih lagi mencatatkan pertumbuhan yang positif walaupun pertumbuhan itu sedikit perlahan berbanding tahun sebelumnya, namun ia masih menunjukkan kemampuan untuk negara kita mencatatkan perkembangan ekonomi di dalam suasana yang mencabar, terutamanya di peringkat global.

“Kadar inflasi berterusan turun selama sembilan berturut-turut sehingga sekarang kepada hanya 2.0 peratus. Kita juga tidak melihat kadar faedah seperti kadar faedah semalaman (OPR) naik mendadak, hanya 3.0 peratus sahaja,” katanya kepada Bernama.

Menurutnya, data terkini juga menunjukkan pengangguran semakin berkurangan kepada 3.2 peratus, yang turut menyaksikan tenaga buruh berterusan meningkat.

“Secara keseluruhan, kita lihat negara kita masih mampu menjana hasil dalam mendepani suasana yang mencabar tidak seperti sesetengah negara lain yang masih lagi bergelut dengan suasana ekonomi yang tidak menentu,” katanya.

Pada 27 Julai, Pelan Hala Tuju Peralihan Tenaga Negara (NETR) Fasa 1 telah dilancarkan oleh Menteri Ekonomi Rafizi Ramli, yang merupakan titik permulaan dalam usaha mengarusperdanakan peralihan tenaga naratif pembangunan negara.

Pada pelancaran itu, Rafizi telah mengumumkan 10 projek rintis perdana yang dijangka menjana pelaburan berjumlah RM25 billion dan membuka 23,000 peluang pekerjaan bernilai tinggi.

NETR bukan sahaja dokumen yang mengandungi langkah untuk memenuhi sasaran sifar bersih, tetapi ia adalah gabungan strategi dan inisiatif yang boleh mengubah ekonomi, kehidupan rakyat dan kedudukan negara di peta dunia.

Sementara itu, Pelan Induk Perindustrian Baharu 2030 (NIMP 2030) yang dilancarkan pada 1 Sept 2023 pula bakal memberi nafas baharu dalam merencanakan hala tuju perindustrian negara bagi pertumbuhan fasa ekonomi negara seterusnya selaras dengan persekitaran global yang kian mencabar.

Pelan induk itu menggunakan pendekatan berasaskan empat misi untuk memacu transformasi industri pada skala besar iaitu untuk memajukan ekonomi, membina negara berdaya maju dalam teknologi, mendorong ke arah mengurangkan pelepasan karbon dan membina ekonomi berdaya tahan.

Selain itu, pada Persidangan Dewan Rakyat baru-baru ini, Anwar turut memberi jaminan akan terus bertanggungjawab kepada negara dan pertumbuhan ekonomi dengan sentiasa mencari peluang dan kesempatan untuk menjalinkan hubungan dengan negara-negara berpotensi bagi menarik minat pelabur.

Beliau berkata kerajaan tidak melepaskan peluang untuk mengadakan pertemuan dua hala sama ada secara rasmi atau berasingan dengan beberapa negara semasa menghadiri Mesyuarat ke-30 Pemimpin-Pemimpin Ekonomi bagi Kerjasama Ekonomi Asia-Pasifik (APEC) di Amerika Syarikat (AS) yang berlangsung pada 14-17 Nov 2023.

 

Cabaran Kerajaan Perpaduan

Bagaimanapun, Ahmed Razman berkata setiap negara mempunyai cabaran yang berbeza dan bagi Kerajaan Perpaduan, beliau berpendapat antara cabaran yang besar adalah dari segi kelemahan nilai ringgit berbanding dolar AS.

“Pada masa yang sama, rakyat masih mengeluh dengan kos sara hidup. Walaupun masih ada kawalan harga (barangan), tetapi kos sara hidup secara keseluruhan, berterusan menjadi satu isu yang sering diperkatakan.

“Mungkin tidak adil untuk melihat prestasi sesebuah kerajaan itu dalam masa hanya setahun, namun pujian harus diberikan kalau ada pencapaian yang berjaya diperoleh,” katanya.

Bagaimanapun, yang pastinya beberapa penambahbaikan serta usaha untuk meningkatkan lagi ekonomi itu, ada antaranya perlu mengambil masa yang panjang, jelas beliau.

Menurut Ahmed Razman, penilaian prestasi sesebuah kerajaan harus dilihat secara lebih holistik, bukan hanya untuk tempoh setahun, tetapi lebih kepada tempoh sepenggal pemerintahan itu sendiri iaitu sekitar empat ke lima tahun.

“Fokus dan agenda utama Perdana Menteri adalah untuk memastikan tidak ada rakyat yang tertinggal dari segi pendapatan dan kekayaan.

“Apabila mana-mana kerajaan memfokuskan kepada meningkatkan ekonomi, kita tidak mahu apabila pertumbuhan ekonomi bertambah baik,  hasil dan pendapatan syarikat meningkat, tetapi yang mendapat manfaatnya adalah (hanya) syarikat-syarikat besar,” katanya.

Sementara itu, terdapat juga iltizam kerajaan untuk menoktahkan kemiskinan tegar dalam usaha meningkatkan taraf hidup golongan yang betul-betul berada di bawah paras kemiskinan, kata Ahmed Razman.

Meraih Komitmen Pelabur Asing

Selain itu, tahun 2023 turut menyaksikan banyak komitmen Pelaburan Langsung Asing (FDI) memasuki negara, serta perjanjian-perjanjian memorandum persefahaman (MoU) dimeterai dengan beberapa buah negara dagang utama, yang mana kesemua ini tidak akan dapat dilihat impaknya dalam masa terdekat.

“Ini adalah komitmen pelabur, mereka memerlukan masa untuk membina kilang atau menempatkan perniagaan mereka di negara kita, mengambil pekerja dan kesannya dapat dilihat apabila rakyat mula menikmati gaji yang kompetitif,” kata Ahmed Razman.

Dalam masa setahun ini juga, beliau berkata pelbagai laporan dan pelan telah dibentangkan berkaitan ekonomi manakala dasar sedia ada telah ditambah baik atau diperkenalkan dan inilah yang dimahukan oleh peniaga dan pelabur.

Menurut Ahmed Razman, dalam perniagaan dan urusan perdagangan, persepsi adalah amat penting kerana ia menunjukkan kesungguhan sesebuah kerajaan dalam melaksanakan sesuatu agenda.

“Apabila Ekonomi MADANI dilancarkan, kita lihat banyak negara mahu berkolaborasi dengan Malaysia termasuk semasa di Persidangan APEC 2023 baru-baru ini.

“Bagi para pelabur, yang paling penting adalah kestabilan politik itu sendiri. Apabila berlaku banyak pertukaran (pimpinan kerajaan) sebelum ini, pelabur mula hilang keyakinan kerana sekiranya kerajaan bertukar, bagaimana dengan janji-janji kerajaan sebelum ini,” katanya.

Beliau menjelaskan apabila pelabur dapat melihat sesebuah kerajaan itu stabil dan mampu menghabiskan penggal pemerintahannya ditambah dengan dokumen yang jelas mengenai sasaran-sasaran yang mahu dicapai, ia telah meningkatkan keyakinan pelabur untuk datang melabur.

Pendekatan Dalam Membangun Ekonomi Rakyat

Ahmed Razman berkata strategi yang diambil oleh kerajaan setakat ini adalah untuk memastikan setiap bantuan yang diberikan itu bersasar dan disalurkan kepada mereka yang benar-benar memerlukan selain mengurangkan ketirisan, pembaziran serta rasuah.

Apabila subsidi bersasar dilaksanakan, beliau berkata ia akan menjurus kepada golongan yang benar-benar layak dan pada masa yang sama, bantuan tunai kepada mereka yang memerlukan ditingkatkan, selari dengan fokus asal kerajaan.

“Oleh itu, sekiranya Cukai Barangan dan Perkhidmatan (GST) diperkenalkan (semula) sekarang, ia akan menyebabkan segala usaha kerajaan gagal kerana cukai ini berasaskan pembelian. Apabila rakyat berbelanja, mereka akan dikenakan cukai.

“Jika kita lihat pada perbelanjaan isi rumah, golongan berpendapatan rendah B40 yang banyak berbelanja untuk makanan berbanding golongan berpendapatan tinggi T20. Justeru, sekiranya GST diperkenalkan dan banyak bahan makanan yang dikenakan cukai, ia akan menyebabkan mereka (B40) tiada lebihan pendapatan,” jelas beliau.

Namun begitu, Ahmed Razman seterusnya menambah daripada pemerhatian beliau, dalam tempoh setahun pemerintahan Kerajaan Perpaduan ini, fokus, trend dan polanya adalah lebih kepada transisi secara beransur-ansur dan ini jelas dapat dilihat pada pelaksanaan subsidi bersasar. – TVS

TVS provides up-to-date news, captivating dramas, and diverse program which are disseminated via channel 122 MYTV, UnifiTV and ASTRO. Stream live via MYTV Mana-Mana, UnifiTV and ASTRO GO apps now.

Follow us on social media:
Facebook: @tvsarawak , @tvs122

Instagram: @tvsarawak, @TVS_Entertainment

Telegram: @tvsarawak

TikTok: @tvsarawak, @tvs_entertainment

X: @tvsarawak

YouTube: @tvsarawak, @TVSEntertainment

Berita Berkaitan