Search
Close this search box.
Search
Close this search box.
Dato Sri Fatimah Abdullah. Foto fail, Faitullah Morni (TVS).

DUN: Tiada keperluan buka pejabat urus tadbir DSITKS di Bintulu

ByNur Suhaida Muliyono

KUCHING, 24 Nov: Kementerian Pembangunan Wanita, Kanak-Kanak dan Kesejahteraan Komuniti Sarawak bekerjasama dengan Pejabat Daerah di seluruh negeri bagi mengendalikan urusan permohonan Dokumen Sementara Individu Tanpa Kewarganegaraan (DSITKS).

Justeru Menterinya, Dato Sri Fatimah Abdullah menegaskan tiada keperluan untuk pihaknya membuka sebuah pejabat yang mengurus tadbir permohonan DSITKS di Bintulu.

“Ibu bapa atau penjaga boleh menyemak status permohonan menerusi Pejabat Daerah di mana mereka menghantar permohonan tersebut atau berhubung terus sahaja kepada Sekretariat DSITKS di Kementerian,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika menjawab pertanyaan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tanjong Batu, Johnny Pang Leong Ming yang bertanya berkaitan penubuhan sebuah pejabat di Bintulu untuk memudahkan proses mengemas kini individu tanpa kewarganegaraan dan semakan status mereka.

Dalam pada itu, Fatimah memberitahu sejak 1 November 2022, kementeriannya telah menerima sejumlah 38 permohonan DSITKS di Bintulu.

“Daripada 38 permohonan yang diterima di Bintulu, empat sudah diluluskan, manakala 21 permohonan lagi tidak lengkap dan 13 permohonan tidak memenuhi syarat kerana untuk memohon DSITKS, pemohon mestilah berusia 21 tahun ke bawah.

“Pemohon berusia 21 tahun ke atas tidak layak memohon DSITKS. Sebelum mereka memohon DSITKS, mereka perlu memohon kewarganegaraan terlebih dahulu di bawah Perkara 15A Perlembagaan Persekutuan,” ujarnya.

Fatimah mendedahkan lagi berdasarkan statistik kementeriannya, lapan pemohon adalah berusia 21 tahun dan ke atas.

Berdasarkan rekod kementeriannya juga, Fatimah berkata seramai 21 pemohon tidak memohon kewarganegaraan di bawah Perkara 15A Perlembagaan Persekutuan manakala seorang daripada mereka telah mendapat kewarganegaraan.

Justeru itu, sekiranya mereka sudah mendapat kewarganegaraan, Fatimah berkata tiada keperluan untuk mereka memohon DSITKS lagi. -TVS

TVS provides up-to-date news, captivating dramas, and diverse program which are disseminated via channel 122 MYTV, UnifiTV and ASTRO. Stream live via MYTV Mana-Mana, UnifiTV and ASTRO GO apps now.

Follow us on social media:
Facebook: @tvsarawak , @tvs122

Instagram: @tvsarawak, @TVS_Entertainment

Telegram: @tvsarawak

TikTok: @tvsarawak, @tvs_entertainment

X: @tvsarawak

YouTube: @tvsarawak, @TVSEntertainment

Berita Berkaitan