KUCHING, 24 Nov: Perpaduan dalam kepelbagaian merupakan kunci utama kestabilan politik Sarawak, kata Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bukit Semuja, John Ilus.
Katanya, ia menjadi senjata utama dalam usaha merancakkan perpaduan dan kestabilan pentadbiran secara amnya, untuk terus bergerak ke hadapan berbanding wilayah-wilayah lain di negara ini.
“Kestabilan ini memudahkan pihak pentadbiran dan pembuat dasar menggubal undang-undang serta polisi-polisi untuk meneruskan agenda pembangunan dan ekonomi untuk kesejahteraan rakyat, selaras dengan hala tuju Strategi Pembangunan Pasca COVID-19 (PCDS) 2030 untuk menjadi wilayah yang maju,” katanya.
Beliau berkata demikian dalam perbahasan Rang Undang-Undang (RUU) Perbekalan 2024 pada Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Sarawak di sini, hari ini.
Katanya, perkara itu secara tidak langsung menampakkan hasil usaha kerajaan negeri yang berusaha untuk memastikan wilayah ini dijaga dengan baik.
“Sarawak merupakan satu-satunya wilayah di negara ini yang paling stabil dari segi politik dan kerajaan dengan rakyat yang berbilang kaum dan perkara ini telah terbukti melalui Kembara Kenali Borneo oleh Yang di-Pertuan Agong serta ahli keluarga baginda pada September lalu,” ujarnya. -TVS