KUCHING, 24 Nov : Kementerian Pendidikan, Inovasi dan Pembangunan Bakat (MEITD) sedang menanti maklum balas rasmi mengenai penurunan kuasa daripada Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) seperti termaktub dalam Perjanjian Malaysia 1963 (MA63).
Menurut Timbalan Menterinya, Datuk Dr Annuar Rapa’ee berkata, KPM telah memberikan respond positif dalam proses tersebut, terutamanya dalam konteks pentadbiran.
“Sebelum ini, Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim pernah berkata ketika sambutan Hari Malaysia di mana tiada apa lagi yang perlu dibincangkan, hanya tinggal adalah perlaksanaan apa yang dipersetujui,” katanya.
Annuar berkata demikian ketika menjawab soalan tambahan daripada Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kota Sentosa, Yap Yau Sin mengenai kemajuan yang dicapai oleh MEITD pada Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Sarawak di sini, hari ini.
Dalam pada itu, Annuar juga mendedahkan pelbagai projek telah diluluskan dan dibiayai oleh kerajaan negeri, yang diberikan kepada Pengarah Pendidikan Sarawak untuk dilaksanakan.
Tambahnya, kementeriannya berpendapat bahawa maklum balas rasmi itu tidak akan diselesaikan dengan cepat disebabkan birokrasi di peringkat kerajaan persekutuan.
Namun begitu, Annuar yakin bahawa MEITD akan terus mengejar perkara tersebut.
Selain itu, ADUN Nangka juga menjelaskan salah satu kemajuan yang ketara adalah komitmen untuk menangani kekurangan guru di Sarawak dimana MEITD, KPM, dan Suruhanjaya Perkhidmatan Pendidikan (SPP) telah berjanji untuk menyelesaikan isu ini menjelang separuh kedua tahun 2024.-TVS