SRI AMAN, 23 Nov: Perlaksanaan Program SMART Sawah Padi Berskala Besar (SMART SBB) di Kawasan Pembangunan Pertanian Bersepadu (IADA) Batang Lupar mula menunjukkan hasil apabila merekodkan purata bersih tuaian sebanyak 5.5 tan per hektar bagi varieti MR269.
Timbalan Setiausaha Tetap Kementerian Industri Makanan, Komoditi dan Pembangunan Wilayah Sarawak, Sayed Ismail Wan Hashim berkata, ia direkod berdasarkan Crop Cutting Survey (CCS) pada 20 November lalu.
Pencapaian itu kata beliau menunjukkan peningkatan berbanding program perintis di Blok C Tanjung Bijat sebelum ini.
“Purata hasil padi ketika ia masih di peringkat program perintis adalah dua tan per hektar dan dilaksana di atas tanah berkeluasan 72 hektar yang dilengkapi dengan sistem pengairan tertier membabitkan seramai 202 pesawah,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap merasmikan Pesta Menuai Padi Luar Musim 2023 di Tanjung Bijat di sini hari ini.
Mengulas lanjut, Sayed Ismail berkata, pelaksanaan SMART SBB merupakan langkah tepat untuk mentransformasi sektor penanaman padi tempatan.
“Ini juga menunjukkan penggunaan mekanisasi dan automasi dalam penanaman mampu meningkatkan hasil,” tambahnya.
Sementara itu, Pengarah IADA Batang Lupar Irene Lah berkata, aktiviti penanaman padi dua kali setahun ini tidak akan berjaya tanpa infrastruktur pertanian yang sistematik.
Oleh itu katanya peruntukan RM230 juta oleh Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan (KPKM) untuk membangunkan infrastruktur pertanian lengkap di Batang Lupar merupakan langkah tepat.
“Ia meliputi keseluruhan kawasan penanaman di Stumbin, Tanjung Bijat, Gran, Entulang, Seduku, Lingga dan Banting,” jelasnya.-TVS