Search
Close this search box.
Search
Close this search box.
Dewan Rakyat dimaklumkan sebanyak 8.85 peratus usahawan gulung tikar pada April 2020. Foto hiasan, Envato.

Parlimen: Pandemik, kenaikan harga barang antara punca usahawan gulung tikar

ByLuqman Muhammad

KUALA LUMPUR, 23 Nov: Kesan pandemik COVID-19 serta kenaikan harga barang merupakan antara punca sebilangan kecil usahawan terpaksa menutup terus operasi perniagaan mereka, Dewan Rakyat dimaklumkan hari ini.

Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi, Datuk Ewon Benedick berkata, faktor itu menyumbang kepada 16 peratus usahawan terpaksa gulung tikar ekoran kelembapan ekonomi semasa di negara ini bagi tempoh 2020 hingga 2023.

Kata beliau, berdasarkan kaji selidik oleh Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi (KUSKOP) bagi tempoh berkenaan, sebanyak 8.85 peratus usahawan gulung tikar pada April 2020 dan jumlah itu menurun kepada 3.16 peratus pada Jun 2021.

“Pada Februari 2022 pula sebanyak 1.38 peratus usahawan menamatkan perniagaan diikuti 2.7 peratus pada November 2022,” katanya

Beliau berkata demikian ketika menjawab pertanyaan Rosalan Hashim (Perikatan Nasional – Kulim Bandar Baharu di Parlimen, hari ini.

Dalam pada itu Ewon memaklumkan, KUSKOP menerusi agensi-agensi di bawahnya telah melaksanakan beberapa inisiatif bagi memulihkan semula perniagaan usahawan berkenaan.

“KUSKOP menyediakan pinjaman kewangan antaranya seperti skim-skim pembiayaan di bawah Tabung Ekonomi Kumpulan Usaha Niaga (TEKUN) Nasional dan skim pembiayaan Amanah Ikhtiar Malaysia .

“Agensi-agensi pembiayaan di bawah KUSKOP juga telah mempermudahkan proses permohonan dengan mengurangkan dokumentasi yang diperlukan dan memendekan tempoh masa memproses permohonan,” tambahnya.

Beliau turut menjelaskan, KUSKOP juga bekerjasama dengan Agensi Kaunseling dan Pengurusan Kredit (AKPK) untuk pelaksanaan Program Intervensi Peluang Kedua bagi membantu usahawan yang berdepan dengan masalah pengurusan kewangan yang serius dan berisiko muflis. -TVS

TVS provides up-to-date news, captivating dramas, and diverse program which are disseminated via channel 122 MYTV, UnifiTV and ASTRO. Stream live via MYTV Mana-Mana, UnifiTV and ASTRO GO apps now.

Follow us on social media:
Facebook: @tvsarawak , @tvs122

Instagram: @tvsarawak, @TVS_Entertainment

Telegram: @tvsarawak

TikTok: @tvsarawak, @tvs_entertainment

X: @tvsarawak

YouTube: @tvsarawak, @TVSEntertainment

Berita Berkaitan