Search
Close this search box.
Search
Close this search box.
Warga SK Kuala Balingian merakamkan gambar kenang-kenangan bersama kelab BMW Motorrad Malaysia. Foto: TVS

Jelajah Kelab BMW Motorrad Malaysia hulur bantuan kepada murid SK Kuala Balingian

MUKAH, 23 Nov: Kelab BMW Motorrad Malaysia menyumbang peralatan sekolah berupa alat tulis dan beg kepada 50 orang pelajar Sekolah Kebangsaan (SK) Kuala Balingian, Mukah sempena Jelajah BMW MCM 5 Nations Borneo Expedition 2023.

Presidennya, Azman Abu berkata, sumbangan berkenaan merupakan program Tanggungjawab Sosial Korporat (CSR) kelab itu.

Katanya, ini juga bagi memastikan murid yang serba kekurangan dapat menimba ilmu dengan sempurna.

“Ini merupakan cara kelab membantu masyarakat dengan memberi kembali kepada golongan yang memerlukan kerana rata-rata ahli terdiri daripada ahli perniagaan yang telah berjaya.

“Oleh itu, jelajah yang dilakukan ini tidak menjadi ekspedisi kosong tanpa pengisian,” katanya.

Menurutnya, SK Kuala Balingian terpilih menjadi lokasi  program CSR itu setelah kajian mendapati sekolah itu dikategorikan sebagai daif dan kekurangan peralatan.

“Kami juga telah menyumbang RM4,000 kepada sekolah ini untuk mereka melaksanakan program penambahan ilmu kepada murid,” tambahnya.

Sementara itu, Azman turut menyeru pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dan persatuan lain supaya terus memberi sumbangan kepada sekolah di luar bandar.

“Ini supaya kita dapat membantu anak-anak di Sabah, Sarawak dan Semenanjung Malaysia untuk menimba ilmu dengan sempurna,” tambahnya.

Sementara itu, Guru Besar SK Kuala Balingian, Christopher Spencer Latip berkata, usaha murni Kelab BMW Motorrad Malaysia harus dipuji kerana membantu persediaan murid memasuki sesi persekolahan tahun hadapan.

Menurutnya hampir semua pelajar sekolah itu terdiri daripada keluarga B40 malah keadaan sekolah yang daif turut menyukarkan mereka menimba ilmu setaraf dengan sekolah-sekolah lain.

“Kedaifan SK Kuala Balingian membabitkan fizikal bangunan dan beberapa kelengkapan lain harus diberi perhatian.

“Pihak sekolah kini dalam proses memohon bantuan daripada Pejabat Pendidikan Daerah (PPD) Mukah serta agensi berkaitan untuk membaik pulih sekolah,” katanya. – TVS

TVS provides up-to-date news, captivating dramas, and diverse program which are disseminated via channel 122 MYTV, UnifiTV and ASTRO. Stream live via MYTV Mana-Mana, UnifiTV and ASTRO GO apps now.

Follow us on social media:
Facebook: @tvsarawak , @tvs122

Instagram: @tvsarawak, @TVS_Entertainment

Telegram: @tvsarawak

TikTok: @tvsarawak, @tvs_entertainment

X: @tvsarawak

YouTube: @tvsarawak, @TVSEntertainment

Berita Berkaitan