KUCHING, 23 Nov: Isteri Premier Sarawak, Puan Sri Datuk Amar Juma’ani Tuanku Bujang menyerikan sambutan Pra Krismas penghuni Rumah Amal Cheshire Kuching dan Rumah Orang Buta di sini, hari ini.
Kunjungan beliau turut diringi warga Wisma Sarawak Badan Amal Tenaga Isteri-isteri (SABATI) selain menyerahkan sumbangan kepada dua rumah kebajikan berkenaan.
Bercakap mengenai kunjungan berkenaan, isteri Timbalan Premier Sarawak, Datin Sri Enn Ong mendedahkan warga SABATI telah menyumbangkan sebuah ‘chiller’ dua pintu untuk kegunaan komuniti di Rumah Amal Cheshire Kuching.
Manakala, menurutnya Rumah Orang Buta pula telah menerima empat peralatan elektrik iaitu dua ketuhar elektrik, dua periuk tekanan dan satu pembersih tekanan tinggi.
Sumbangan berkenaan kata beliau bertujuan sebagai pendorong untuk komuniti rumah amal itu menghasilkan lebih banyak produk berasaskan makanan selepas ini.
“Kami membawa hadiah untuk anda semua boleh memasak, mempelajari kemahiran memasak, membakar kek dan biskut untuk dijual,” katanya kepada TVS hari ini.
Dalam kunjungan itu, Juma’ani serta warga SABATI telah dihiburkan oleh lima wakil Persatuan Orang Buta dengan dendangan beberapa buah lagu seperti Bekikis Bulu Betis, Semina Duduk Berimbai dan Bunyi Gitar.
Turut hadir Dato Doreen Mayang Uggah, Dato Dayang Morliah Datuk Awang Daud, Datin Dayang Maimunah Awang Muhammad Daud. – TVS