KUCHING, 23 Nov: Sebanyak empat laporan diterima polis berhubung ancaman bom palsu di beberapa buah sekolah di bandar raya ini dan Miri.
Pesuruhjaya Polis Sarawak, Dato Mancha Ata berkata, kesemua laporan diterima pada 21 November lepas hingga hari ini.
Katanya, tiga aduan membabitkan sekolah di Kuching manakala sebuah lagi di Miri.
“Ancaman dihantar melalui tiga akaun e-mel iaitu ‘Takstorrer’, ‘Tunzodev’ dan ‘Tunzowashere’.
“Sebaik sahaja menerima laporan, kita segera bekerjasama dengan sekolah terlibat iaitu mengambil tindakan mengosongkan premis,” katanya menerusi kenyataan media hari ini.
Kata Mancha, pembersihan keselamatan telah dijalankan secara rapi oleh polis di kesemua lokasi namun tiada sebarang ancaman yang dikesan.
Siasatan kata beliau mendapati e-mel ancaman tersebut adalah palsu. -TVS