KUCHING, 23 Nov: Perkembangan projek-projek yang dilaksanakan di bawah Projek Transformasi Luar Bandar (RTP) di Dewan Undangan Negeri (DUN) Bukit Assek hanya mencapai tahap 25.3 peratus.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bukit Assek, Joseph Chieng Jin Ek berkata, data itu adalah bagi tempoh 2015 hingga November 2023.
“Kontrak untuk dua projek RTP tahun ini baharu sahaja diserahkan kepada kontraktor pada 10 November lepas,” ujar beliau.
Beliau berkata demikian ketika membahas Rang-Rang Undang (RUU) Perbekalan 2024 bacaan kali kedua pada Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Sarawak di sini hari ini.
Sehubungan itu Joseph Chieng menggesa agensi berkaitan untuk meningkatkan usaha agar projek-projek RTP tahun lepas dan tahun ini dapat disiapkan segera.
“(Manakala untuk) projek pada 2024 , (saya harap) dapat selesai pada penghujung tahun,” katanya.
Dalam pada itu, beliau turut memohon kepada Lembaga Pembangunan dan Lindungan Tanah (LCDA) untuk mempertimbangkan rumah mampu milik jenis kondominium dijual pada harga tidak melebihi RM300,000.
“Sekarang dengan harga (rumah) yang sangat mahal, rumah teres pertengahan di Sibu mencecah harga sehingga RM400,000 dan lebih.
“Ramai pemilik rumah masih tinggal di zon pembangunan semula, (oleh itu) agak susah untuk memiliki rumah baharu selepas menerima pampasan pengambilan tanah,” ujarnya lagi.
Justeru katanya, ketika proses pengambilan tanah dilakukan, keutamaan haruslah diberikan kepada pemilik rumah semasa terutamanya yang tinggal di kawasan pembangunan semula untuk memilih kondominium perumahan mampu milik itu. -TVS